Hafizan Azmi bersama murid selepas menunjukkan cara penggunaan Google Classroom.
Hafizan Azmi bersama murid selepas menunjukkan cara penggunaan Google Classroom.
Hajar Umira Md Zaki


Dungun: 'Pada mulanya, saya agak pelik kerana kehadiran murid menghadiri kelas secara dalam talian menerusi Google Classroom rendah.

"Selepas diselidik dengan ibu bapa baru saya tahu ada dalam kalangan mereka yang tidak mahir menggunakan aplikasi itu," kata guru, Hafizan Azmi, 38.

Katanya, menyedari masalah dihadapi murid dia mengambil inisiatif mengajar murid menggunakan aplikasi berkenaan di rumah masing-masing bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Menurutnya, usahanya membuahkan hasil apabila kini, hampir semua murid menghadiri kelas yang dikendalikannya.

"Kalau dulu kira-kira hanya 20 orang murid daripada 35 menyertai kelas dalam talian, sekarang penyertaan kelas hampir penuh.

"Sebagai seorang pendidik, ia satu kepuasan apabila melihat murid yang dibantu hadir ke kelas dalam taliannya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah rendah di Dungun, Terengganu ini berkata, dia juga seronok melihat semangat yang ditunjukkan oleh murid murid sehingga ada yang hadir lebih awal untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Hafizan berkata, ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk menjayakan sesi PdPR anak-anak.

"Saya menerima pelbagai maklum balas daripada ibu bapa berkenaan pembelajaran dalam talian ini menerusi aplikasi WhatsApp.

"Melihat kepada kesungguhan ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak mereka, saya sebagai pendidik bersedia untuk menghulurkan bantuan selagi termampu," katanya.

Menurutnya, ia juga bagi mengelakkan murid tercicir dalam pelajaran, terutamanya murid tahun enam yang bakal melangkah ke sekolah menengah pada tahun depan.

Kelas dalam talian Hafizan Azmi bersama murid tahun enam.
Kelas dalam talian Hafizan Azmi bersama murid tahun enam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:04 PM