KONG bersama produk LG.
KONG bersama produk LG.
Afiq Hanif

Jualan telefon pintar di dunia mencecah 383 juta pada suku ketiga tahun ini yang menyaksikan peningkatan tiga peratus untuk tempoh sama pada tahun lalu.

Agensi penyelidik, Gartner Inc mendapati lima vendor telefon pintar teratas mencapai pertumbuhan dua digit melainkan Apple yang mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus.

Menurut Pengarah Penyelidik Gartner, Anshul Gupta, walaupun terdapat kelemahan pasaran di China, jualan telefon pintar masih meningkat pada suku ketiga tahun ini.

“Negara yang sedang membangun di Asia Pasifik dan Amerika Utara antara tumpuan pertumbuhan telefon pintar pada suku ketiga tahun ini.

“Asia Pasifik mencatatkan pertumbuhan 15 peratus manakala Amerika Utara pula 11.2 peratus,” katanya.

Gupta juga memberitahu, Samsung dan Huawei mendapat perhatian kukuh di Asia Pasifik di samping dua lagi jenama yang mengikut rapat iaitu Xiaomi serta Vivo.

“Amerika Utara pula menyaksikan Samsung memacu suku ketiga berikutan pengeluaran fon ‘flagship’ mereka,” katanya.

Samsung menguasai 22.3 peratus pasaran telefon pintar manakala Apple di tempat kedua dengan 11.9 peratus sementara Huawei di tangga ketiga dengan 9.5 peratus.

Oppo dan Xiaomi masing-masing 7.7 serta tujuh peratus di tempat keempat dan kelima.

Gupta memaklumkan, Samsung memperoleh jualan memberangsangkan untuk Galaxy S8, S8+ dan Note 8 sementara peningkatan Apple diperoleh berikutan jualan model rendah, iPhone 5S yang berjaya di pasaran dunia.

Samsung berjaya menjual 85.6 juta unit manakala Apple 45.4, juta Huawei 36.5 juta, Oppo, 29.4 juta, Xiaomi 26.8 juta dan lain-lain jenama 159.6 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 10:45 AM