15 koleksi batik sedia pakai terap blok warna terang. FOTO: Mustaffa Kamal
15 koleksi batik sedia pakai terap blok warna terang. FOTO: Mustaffa Kamal
Yusliza Yakimir Abd Talib


KEINDAHAN fabrik tradisional seperti batik tidak perlu dipertikaikan, malah suntikan elemen moden menjadikan rekaan ini sentiasa menjadi pilihan baik wanita mahupun lelaki untuk digayakan pada bila-bila masa.

Jika batik sinonim diketengahkan sebagai busana, Minggu Fesyen Kuala Lumpur baru-baru ini memaparkan jenama penjagaan wanita, Kotex di pentas peragaan Malaysia buat julung kali.

Koleksi yang menampilkan cetakan batik moden yang dihasilkan oleh artisan wanita di Batik Boutique iaitu sebuah perusahaan yang memberi tumpuan untuk meningkatkan kemahiran golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

WARNA terang simbolik pemerkasaan wanita.
WARNA terang simbolik pemerkasaan wanita.

Cetakan batik moden direalisasikan pada koleksi ini oleh pereka fesyen tempatan, Seza Zulkeple. Cetakan batik ini pertama kalinya mencuri perhatian khalayak ramai dengan bungkusan Batik Edisi Terhad tuala wanita yang dilancarkan pada Julai lalu.

Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark, Frenissa Lagman berkata, jenama tuala wanita itu komited memacu perubahan masyarakat di seluruh dunia bagi membantu wanita muda menangkis persepsi yang ketinggalan zaman, di samping memperkasa mereka untuk meraih lebih kejayaan.

Kerjasama dengan Batik Boutique dan KLFW adalah hasil positif inisiatif Kotex #SHECAN Fund di Malaysia, selain menyediakan satu lagi platform bagi menyokong tradisi rekaan batik yang menjadi kebanggaan anak Malaysia.

“Melalui Seza, kami menyaksikan antara pereka fesyen berpotensi di Malaysia. Kami berbesar hati menyokong impiannya yang membanggakan kita semua dengan rekaan menakjubkan.

“Rekaan pereka muda itu juga menunjukkan batik masih relevan kepada fesyen hari ini secara kotemporari dan juga berjaya menzahirkan inti pati batik moden, serta mempamerkan cetakan batik dalam satu koleksi yang minimalis, menarik perhatian serta berani,” katanya.

Sebanyak 15 koleksi batik sedia pakai yang menerapkan blok warna yang terang dan cetakan batik Kotex untuk wanita kontemporari bergaya dipamerkan pada pentas peragaan itu.

Dalam pada itu, Seza berkata, wanita perlu bercita-cita besar dan mengejar impian mereka, namun dalam setiap perjalanan, kita juga perlu memberi sokongan antara satu sama lain untuk merealisasikan impian masing-masing.

Katanya, blok warna serta motif batik dalam koleksi ini mencerminkan visinya untuk memperkasa wanita.

“Saya sangat meminati batik serta warna terang dan menerapkan unsur positif ke dalam rekaan saya. Saya sangat teruja apabila diberikan peluang keemasan untuk bekerjasama dengan jenama tuala wanita bagi melahirkan koleksi ini yang berasaskan misi memperkasa wanita, di samping menampilkan rekaan batik oleh artisan wanita di butik berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 1:45 PM