GAYA menawan berkonsepkan moden kontemporari.
GAYA menawan berkonsepkan moden kontemporari.
Siti Zarinah Sahib

Selepas menyerlah di dalam pertunjukan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2016, Romyda_KL semakin dikenali dalam kalangan pencinta fesyen disebabkan penghasilan busana yang menawan dan menambat hati wanita.

Ini dapat dilihat menerusi keunikan rekaan, material dan perincian mewah menjadi pelengkap kepada gaya wanita moden masa kini.

Lebih penting, ia hasil rekaan pereka berbakat dari Kemboja, Romyda Keth, menggabungkan tradisi Barat dan Timur dengan campuran adi busana Perancis yang bersifat universal. Dalam erti kata lain Romyda yang mengetengahkan rekaan batik yang diberi nafas baru menerusi potongan moden dan bergaya.

“Kehalusan kerja tangan menerusi teknik mencanting batik diberi sentuhan kontemporari agar lebih segar bukan sahaja menerusi warna tetapi corak dipaparkan,” katanya.

Tanpa mengira usia, bentuk atau ukuran badan, jenama ini meraikan semua wanita yang memiliki bentuk badan berbeza. Sebagai jenama menggabungkan kehebatan rekaan, Romyda_KL berkolaborasi dengan pegawai perhubungan awam Selina Yeop Jr, melancarkan koleksi yang lebih eksklusif dan moden inspirasi daripada Piala Seri Endon.

GAUN hitam dengan sentuhan mewah menggunakan fabrik batik hasil rekaan pemenang Piala Seri Endon.
GAUN hitam dengan sentuhan mewah menggunakan fabrik batik hasil rekaan pemenang Piala Seri Endon.

Koleksi untuk lelaki dan wanita ini juga bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan menerusi hasil jualan yang akan disumbangkan kepada Yayasan Budi Penyayang.

Menurut Selina, untuk rekaan kali ini pereka menggunakan fabrik hasil idea pemenang dalam pertandingan berprestij Piala Seri Endon.

“Ia kemudian diberikan identiti Romyda_KL dalam setiap koleksi seperti lengan besar, garis pinggang, baju lengan kimono dengan siluet yang mengagumkan,” jelasnya.

Selama ini ramai wanita cenderung menilai keanggunan busana apabila ia berada di penyangkut baju tetapi ia sangat berbeza apabila disarungkan pada tubuh.

“Untuk itu kami sangat berharap agar wanita tidak hanya melihat busana begitu saja tanpa mencubanya. Ini kerana hasil rekaan Romyda sememangnya perlu digayakan untuk menghargai rupa dan potongannya,” ujarnya.

UNTUK acara makan malam Romyda_KL tampil dengan gaun polos diserikan perincian manik pada pinggang.
UNTUK acara makan malam Romyda_KL tampil dengan gaun polos diserikan perincian manik pada pinggang.

Selina menambah setiap pakaian dihasilkan sebagai penghargaan kepada wanita yang menjadi pemimpin dinamik, seperti dirinya sendiri.

“Sebagai contoh, biasanya saya menghadiri mesyuarat pada waktu pagi, diikuti makan tengah hari bersama pelanggan dengan padanan sama. Oleh itu, pakaian Romyda_KL mampu memenuhi keperluan wanita bekerjaya yang sentiasa sibuk dan tiada masa menukar konsep untuk gaya seharian mereka,” jelasnya.

Untuk busana yang cepat dan pantas, bahan digunakan sangat lasak. Tiada unsur kilauan agar mudah digosok dan dicuci.

Setiap helaian sama ada gaun, jaket dan blaus mampu menyempurnakan gaya wanita yang kekal feminin. Warna ditampilkan juga agak terang menerusi gabungan corak yang berani.

“Ia diperhalusi dengan cetakan pada bahagian lengan dan sulaman tangan yang mencerminkan kualiti produksi yang ditampilkan,” katanya.

SENTUHAN menyerlah jingga untuk acara minum petang.
SENTUHAN menyerlah jingga untuk acara minum petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 1:48 PM