HOBI berbaloi apabila dapat menikmati hasil daripada kegigihan menjaga tanaman.
HOBI berbaloi apabila dapat menikmati hasil daripada kegigihan menjaga tanaman.
Yusliza Yakimir Abd Talib

MEMANFAATKAN halaman rumah dengan pelbagai tanaman dan sayuran bukan saja memberi kepuasan buat mereka yang meminatinya malah menghidangkan panorama indah dan menyejukkan pandangan. Tambahan pula di tengah kesibukan bandar dan waktu terhad dek kekangan kerjaya, menjadikan hobi berkebun ini sebagai salah satu terapi untuk menenangkan diri sambil bersantai bersama keluarga tersayang.

Ann Nor Ishak antara yang menjadikan hobi berkebun sebagai salah satu cara untuk dirinya menyalurkan segala lelah dan tekanan di tempat kerja dengan aktiviti menanam herba dan pokok buah-buahan.

Katanya, dia turut mendapat sokongan penuh suaminya terutama jika mahu mencari atau membeli bahan untuk berkebun, mengangkat pasu dan tanah selain sering menolongnya menyiram dan membaja pokok.

“Sudah pasti kami tertunggu-tunggu hasil buah-buahan yang ditanam dan alhamdulillah kami sudah merasai buah seperti nangka dan mangga hasil kegigihan kami menjaga tanaman itu sekali gus menambahkan semangat untuk berkebun.

“Memang menanam pokok buah mengambil masa agak lama sebelum boleh dituai, tapi berbaloi sebab hasilnya bergantung kepada bagaimana kita menjaga tanaman itu agar menghasilkan buah yang enak.

“Hasil tanaman pula digunakan sendiri dan saya turut berkongsi dengan jiran tetangga dan keluarga. Lagipun, saya hendak manfaatkan tanah terbiar yang ada di depan rumah ini. Jadi, daripada terbiar dengan semak-samun, saya manfaatkan dengan menanam pokok buah-buahan yang hasilnya boleh dikongsi dengan jiran berdekatan,” katanya.

Pasangan yang tinggal di Salak Tinggi, Selangor ini turut memanfaatkan ruangan di beranda rumah dengan menanam beberapa jenis herba seperti kari, pandan dan daun kunyit.

Selain itu dia turut menyertai kumpulan menanam di laman sosial untuk berkongsi pengalaman dan maklumat antaranya Group Kebun Bandar Jom Tanam Sendiri.

ANN gembira pokok ditanam hidup subur.
ANN gembira pokok ditanam hidup subur.

Baginya, menyertai kumpulan itu memberi banyak manfaat buatnya kerana sentiasa dibantu mereka lebih berpengalaman termasuk mendapatkan petua dan tip berkebun malah dia turut membeli benih pokok daripada ahli kumpulan yang menjualnya.

Dalam pada itu, Ann turut berkongsi beberapa petua menjaga tanaman antaranya perlu sabar dan tidak berputus asa kerana menanam pokok ini seperti membuat eksperimen, perlu terus mencuba hingga berjaya.

Katanya, bagi yang berminat mahu menanam pokok, jangan malu bertanya rakan yang lebih arif kerana biasanya komuniti hobi itu sangat membantu.

“Selain itu, buat jadual untuk semburan racun dan baja kerana jika kita berdisiplin, Insya-Allah akan dapat lihat hasil yang hebat.

“Untuk permulaan menanam jangan cuba pokok yang remeh dulu sebaliknya cuba tanam pokok yang mudah hidup dan mudah dijaga.

“Perlahan-lahan naik taraf tanaman kita seiring ilmu yang kita sudah dapat daripada kegagalan tanaman yang lepas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:00 AM