NIK Intan Suhana sentiasa berdisplin menjaga tanamannya supaya hidup subur.
NIK Intan Suhana sentiasa berdisplin menjaga tanamannya supaya hidup subur.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Memanfaatkan halaman rumah dengan pelbagai tanaman dan sayuran bukan saja memberi kepuasan buat mereka yang meminatinya, malah menghidangkan panorama indah dan menyejukkan pandangan.

Hobi berkebun ini juga boleh dijadikan sebagai salah satu terapi untuk menenangkan diri sambil bersantai bersama keluarga tersayang.

Nik Intan Suhana Nik Mahlin, antara yang menjadikan hobi berkebun sebagai satu cara untuk dirinya bereksperimen dengan tanaman yang dianggap tidak sesuai ditanam di negara ini.

Menariknya, semua tanaman itu hidup subur, malah membuahkan hasil untuk dinikmati bersama keluarga dan sahabat.

Epal Fuji, epal Royal Gala, epal bidara dan epal bidara jumbo antara empat jenis epal yang disemai dari biji hingga tumbuh subur di kebun dapur Nik Intan Suhana di Pasir Gudang, Johor.

Baru-baru ini, wanita itu turut cuba menanam pokok padi kerana mahu melihat sendiri bagaimana ia membesar dan mengeluarkan hasilnya.

“Sejak berumur sembilan tahun saya sudah belajar menanam serai, pandan dan kesum di belakang rumah. Ia sudah menjadi minat saya sejak itu dan diteruskan hingga kini.

“Sejak 11 tahun kebelakangan ini saya menaik taraf kebun dapur dengan memanfaatkan sepenuhnya halaman dengan pelbagai sayuran, buahan dan herba.

“Selain untuk mengisi masa lapang, kita dapat makan sayuran organik. Selain itu, dengan berkebun setiap hari dapat menjadi satu senaman kerana kita akan berpeluh seperti berjoging. Malah, setiap kali tanam pokok, saya merasakan seolah-olah saya ‘tanam’ sekali semua masalah,” katanya.

Menurutnya, hobi ini banyak mengajar erti kesabaran kerana daripada percubaan pertama gagal, kita akan terus mencuba hingga berjaya, malah dapat makan hasil tanaman sendiri memang satu kepuasan tidak terhingga.

Hobi itu juga katanya sebagai antitekanan yang baik, memberi ketenangan selepas melihat kehijauan setiap hari.

PELBAGAI tanaman yang  turut digunakan dalam masakan ada di kebunnya.
PELBAGAI tanaman yang turut digunakan dalam masakan ada di kebunnya.

Katanya, hampir semua tanamannya untuk kegunaan sendiri namun ramai yang minta untuk membelinya. Jadi, secara tidak langsung dia turut menanam untuk pembelinya.

“Paling seronok apabila memikirkan kita dapat makan sayuran segar setiap hari, malah ada antara sayuran yang saya tanam tidak dijual atau dijumpai di pasar.

“Saya juga menjadikannya aktiviti bersama keluarga. Asalnya saya seorang saja yang menanam dan suami beri dorongan, tapi sekarang semua berminat termasuk anak-anak.

“Apabila cuti sekolah kami akan adakan aktiviti tanam sayur beramai-ramai dan untuk menjadikan lebih menarik dan memberi pengajaran berguna untuk anak, kita lakukan aktiviti itu menggunakan barang terbuang seperti botol,” katanya.

Nik Intan Suhana turut berkongsi beberapa petua menjaga tanaman antaranya perlu sabar dan tidak berputus asa kerana menanam pokok ini seperti membuat eksperimen, perlu terus mencuba hingga berjaya.

Selain itu katanya, pentingnya komunikasi dengan tanaman hingga boleh faham bahasa pokok itu misalnya apa yang ia sukai dan tidak sukai, kenapa tiba-tiba daunnya kuning atau gugur, tanaman tidak berbuah, semua ini akan boleh difahami nanti.

Katanya, bagi yang berminat mahu menanam pokok, jangan malu bertanya rakan yang lebih arif kerana biasanya komuniti hobi itu sangat membantu.

“Selain itu, buat jadual untuk semburan racun dan baja kerana jika kita berdisiplin, Insya-Allah akan dapat lihat hasil yang hebat.

“Untuk permulaan menanam jangan cuba pokok yang remeh dulu sebaliknya cuba tanam pokok yang mudah hidup dan mudah dijaga.

“Perlahan-lahan naik taraf tanaman kita seiring ilmu yang kita sudah dapat daripada kegagalan tanaman yang lepas,” katanya.

PELBAGAI tanaman yang  turut digunakan dalam masakan ada di kebunnya.
PELBAGAI tanaman yang turut digunakan dalam masakan ada di kebunnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 2:07 PM