REKAAN premium anak tempatan.
REKAAN premium anak tempatan.
Siti Zarinah

BERMULA daripada belajar menjahit baju, diperluaskan kepada beg tangan, Noor Aza Zainol Abidin atau lebih dikenali dengan nama Aza Zainol mula menghasilkan rekaan beg tangan di rumah sebagai memenuhi masa terluang serta untuk kegunaan sendiri.

Lama-kelamaan kualiti rekaan dan kualiti jahitan ditunjukkan menyebabkan ramai dalam kalangan rakan mula berminat mendapatkan tas tangan rekaannya.

“Oleh kerana sambutan sangat menggalakkan membuatkan saya mengambil keputusan menghantar rekaan kepada produksi luar di bawah jenama AzaZainol supaya lebih banyak beg tangan yang dapat dihasilkan,” katanya.

Menekankan kualiti dalam setiap pembuatan, wanita ini memastikan setiap rekaan menggunakan bahan berkualiti seperti kanvas kapas, laminasi, PVC premium, kulit PU premium, besi dan rantai premium bagi memberikan nilai tambah kepada pengguna.

MENAWAN beg tangan merah.
MENAWAN beg tangan merah.

Jika Chanel menggunakan fabrik tweed sebagai perincian kemewahan, Aza turut mengambil inspirasi daripada jenama mewah ini dengan menggunakan fabrik tenun sebagai bahan asas.

“Memang sudah lama saya bercadang menggunakan fabrik tenun dalam pembuatan beg tangan bagi mengekalkan nilai tradisional. Pada masa sama penggunaan material ini mampu menampilkan keindahan dan memberi nilai premium kepada pengguna,” katanya yang sedang dalam proses pemilihan material serta kajian sebelum ia dapat dijual kepada pengguna.

Pada masa sama pereka ini ingin menjadikan koleksi beg tangan AzaZainol sebagai unik dengan pilihan fabrik menarik dan mempunyai kualiti premium. Koleksi produk yang diketengahkan juga berasaskan kain corak etnik dan kulit terbaik sama seperti produk antarabangsa.

“Suatu hari nanti apabila orang menyebut mengenai beg tangan kulit, fabrik unik, berkualiti, feminin dan bercorak orang akan mengingati jenama ini,” katanya yang menjual pada harga RM180 ke atas menerusi pembelian dalam talian.

BEG tote bercorak hitam sesuai ke pejabat.
BEG tote bercorak hitam sesuai ke pejabat.

TIPS BEG TAHAN LAMA:

1. Jangan menyimpan beg kosong, sebaliknya isi dengan kertas atau bahan bebas asid agar bentuk beg kekal cantik.

2. Elakkan menyimpan beg di tempat yang terdedah kepada cahaya matahari. Sebaiknya simpan di dalam bekas atau tempat terhindar habuk.

3. Jangan mengelap beg tangan menggunakan tisu bayi. Bahan dalam tisu basah itu bakal merosakkan beg anda.

4. Elak membersihkan sendiri kotoran degil seperti kesan gincu. Lebih baik dihantar kepada yang pakar melakukannya.

5. Jangan membiarkan beg anda kotor dan menjadi tempat pembiakan bakteria. Bersihkan dengan pembersih yang disyorkan.

6. Jangan sangkut beg di pintu pada jangka masa yang lama, ia akan merosakkan bentuk dan tali beg anda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 4:30 AM