DIYANA bersama wanita di kampungnya terpaksa berjalan jauh untuk mengambil air, mandi dan membasuh. pakaian.
DIYANA bersama wanita di kampungnya terpaksa berjalan jauh untuk mengambil air, mandi dan membasuh. pakaian.
Yusliza Yakimir Abd Talib

MELIHAT sisi kehidupan Diyana, wanita daripada masyarakat Orang Asli di Kampung Bijai, Pahang menerusi lensa kamera jurugambar dokumentari, SC Shekar cukup meruntun jiwa. Saban hari, Diyana dan wanita lain di kampung itu perlu berjalan sejauh hampir dua kilometer bagi mendapatkan sumber air berdekatan untuk mandi atau membasuh pakaian.

Perjalanan pulang ke rumah pula, golongan ibu biasanya akan memikul tong air seberat 20 kilogram dengan tulang empat kerat mereka untuk dibawa pulang bagi kegunaan seisi keluarga untuk minum dan memasak.

Jika kebanyakan daripada kita berasakan kemudahan air yang dinikmati di rumah dipandang sebelah mata, lain pula kisahnya bagi semua wanita ini.

Satu-satunya sumber air bagi penduduk di situ adalah kolam tadahan air yang tidak dapat dipastikan tahap kebersihan dan keselamatan malah di tempat sama juga mereka mandi, membasuh pakaian serta minum.

Diyana antara 60.7 peratus wanita dan gadis Orang Asli di pedalaman Malaysia yang menanggung beban menghabiskan hingga enam jam sehari, berjalan satu hingga dua kilometer mengambil air untuk keluarga mereka.

Menyertai kempen Laneige Waterful Sharing bagi memperkasakan wanita, Shekar mendalami kehidupan mereka selain merakam celah kehidupan Diyana yang kehidupannya terjejas akibat kekurangan air bersih di kampung itu sejak sekian lama.

SHEKAR merakam kehidupan wanita Orang Asli yang terjejas kerana tiada air bersih.
SHEKAR merakam kehidupan wanita Orang Asli yang terjejas kerana tiada air bersih.

Daripada minum, mandi dan memasak dengan air kotor serta tercemar, Shekar mendokumentasi kehidupan Diyana menerusi lensa kameranya selain menyelami bagaimana sukarnya kehidupan mereka demi mendapatkan air.

“Gambar perlulah mempunyai tujuan, jika tidak ia hanya sekeping gambar yang cantik dipandang. Masyarakat perlu melihat foto ini, merasainya dan terinspirasi dengannya.

“Wanita Orang Asli ini adalah tulang belakang komuniti mereka dan memainkan peranan penting dalam mendapatkan bekalan air. Peranan mereka sangat penting dan tidak boleh dipandang rendah.

“Saya berbesar hati kerana peluang yang diberikan Laneige untuk membuka mata masyarakat terutama di bandar mengenai kepentingan air bersih menerusi gambar yang dirakam,” katanya.

Menurutnya, kehidupan seharian mereka dengan sumber yang amat terhad memberi kesedaran berkenaan erti bersyukur dan pentingnya semua pihak berganding bahu untuk membantu mereka yang memerlukan.

Katanya, peranan mereka sering tidak disedari malah di kawasan pedalaman tanpa kemudahan air bersih, sebahagian besar wanita ditugaskan untuk mengambil air dan menjaga anak mereka.

Banyak masa dihabiskan untuk melakukan tugas itu, katanya, kebanyakan daripada mereka terlepas peluang pendidikan dan produktiviti.

Perjalanan jauh ke sumber air selain perlu melalui belukar dan hutan juga katanya mendedahkan risiko wanita ini terhadap kejadian tidak diingini seperti rogol serta serangan.

“Mereka tiada pilihan selain menggalas tanggungjawab ini kerana lelaki perlu bekerja mencari rezeki untuk keluarga. Menerusi foto yang dirakam, saya berharap ia dapat membawa impak kepada masyarakat dan sekali gus mengubah kehidupan mereka,” katanya.

SHEKAR berbesar hati berpeluang sedarkan masyarakat mengenai kepentingan air bersih.
SHEKAR berbesar hati berpeluang sedarkan masyarakat mengenai kepentingan air bersih.

Kempen itu adalah kerjasama tahun keempat Laneige bersama Global Peace Foundation (GPF) mendalami keperluan wanita dengan ketiadaan sumber air bersih di kalangan segelintir komuniti di pedalaman.

Inisiatif tahun ini akan melihat usaha yang meluas ke Kampung Gayung, Kampung Ulu Belat, Kampung Cenodong, Kampung Terubing, dan Kampung Teraling terdiri daripada 81 rumah dan membantu 481 penduduk kampung yang mengalami kekurangan sumber air bersih.

Selain menyediakan penapis air mudah alih Life Straw 2.0, kempen itu juga mengumpul dana untuk membina sistem suapan graviti, pemasangan pam air serta paip air yang akan disambung terus ke rumah mereka.

Kempen yang berlangsung dari Julai hingga Ogos 2019 itu diharap dapat mengumpul dana berjumlah RM60,000 untuk inisiatif itu dan RM10 daripada setiap pembelian barangan jenama itu akan disalurkan ke tabung untuk membantu pemasangan paip dan pam air serta sistem penapisan air ke kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 5:30 AM