BERSAMA komuniti di Somalia.
BERSAMA komuniti di Somalia.
Nurul Husna Mahmud

Lebih enam juta penduduk Somalia diancam kebuluran dan krisis itu dijangka bertambah buruk apabila fenomena kemarau panjang melanda sebahagian besar wilayah Afrika Utara tidak menampakkan sebarang perubahan.

Bukan saja makanan, keperluan mendesak terutama sumber air menjadi isu kritikal negara itu. Mendengar kisah rakyat Somalia membuatkan busker, Syed Amran Al-Yahya yang popular dengan lagu ‘Selamat Malam Rohingya’ terpanggil untuk menjayakan kempen Jelajah Busking 4 Somalia bersama Islamic Relief Malaysia (IRM).

Mudah dekati umum

Dalam pertemuan di lokasi kedua jelajah busker berkenaan di Laman Selera Tesco Shah Alam, baru-baru ini, komposer kelahiran Balok, Pahang itu berkata, pembabitannya secara langsung menerusi program Jelajah Busking 4 Somalia bersama Islamic Relief Malaysia (IRM), antara sumbangannya selaku pemuzik menerusi medium terbabit menarik perhatian umum mengenai isu kemanusiaan.

TANAMAN terjejas akibat kemarau.
TANAMAN terjejas akibat kemarau.

Katanya, pendekatan sebegini terutama ‘busking’ di tempat umum mudah untuk bercerita mengenai keperitan saudara Islam di negara lain bergelut dengan pelbagai isu antaranya mangsa peperangan dan kekejaman di mana bencana seperti di Somalia dengan lebih mudah.

Dengan cara begitu, orang ramai mudah tersentuh dengan bait-bait lagu disampaikan kerana semuanya berkaitan dengan realiti pernah dipaparkan menerusi Youtube mahupun pengalamannya mendengar kisah individu daripada negara terkesan.

ZAIRULSHAHFUDDIN mendekati kanak-kanak Somalia.
ZAIRULSHAHFUDDIN mendekati kanak-kanak Somalia.

Selain itu, kerjasama erat dengan badan sukarela (NGO) ke kawasan terbabit menyebabkan dia menghasilkan lagu bergenre itu.

“Saya saksikan sendiri menerusi Youtube dan mendengar daripada mulut mereka mengenai kesusahan. Malah ketika saya menghasilkan ‘Selamat Malam Rohingya’, saya buat kajian menerusi Youtube mahupun berita dipaparkan. Malah apabila terbabit dengan aktiviti mahupun persembahan amal dan berpeluang bertemu dengan mereka dari Rohingya dan Syria, mereka berkongsi kisah sedikit sebanyak menjadi penguat pada kerja seni saya tidak saja menghiburkan orang tapi pada masa sama, mendidik dan berdakwah.

“Justeru apabila dihubungi pihak IRM untuk kerjasama bagi Kempen Dana Wakaf Air Somalia (DWAS), saya terima dan berharap dapat mengumpul dana sebanyak mungkin untuk membina telaga bagi kampung terjejas,” katanya.

Selain Syed Amran, kumpulan Soul Brothers turut memeriahkan kempen jelajah terbabit. Mereka bercadang menjelajah beberapa lokasi antaranya Melaka, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur dalam misi mengumpul keseluruhan dana DWAS memerlukan RM1.5 juta.

Pertingkat kualiti hidup

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, berbanding terus menggunakan sistem sedia ada iaitu bekalan air diangkut seharian, kos atau jumlah bantuan diterima di kem bantuan ketika ini sangat terhad.

Malah banyak kampung di pedalaman, penduduknya melarat dan tidak sempat dibantu. Paling menggusarkan nasib 1.5 juta penduduk iaitu terpaksa berjalan ratusan kilometer setiap hari demi seteguk air. Lebih menyedihkan ada antara mereka maut terutama kanak-kanak kerana gagal mendapatkan bekalan air mahupun makanan.

ANTARA usaha membangunkan kemudahan perigi bersih.
ANTARA usaha membangunkan kemudahan perigi bersih.

Kata Zairulshahfuddin, pembinaan dua telaga air itu diharap dapat memberi manfaat buat lebih 12,000 penduduk kampung paling terjejas.

“Sasaran kami di Wilayah Shabelle, Somalia terletak jauh dari pusat bandar kem utama di Mogadishu. Pembinaan dua perigi membabitkan dua kampung ini tidak saja bagi menyediakan bekalan air bersih untuk penduduk, juga jaminan kepada transformasi kualiti hidup penduduk miskin Mogadishu menerusi bantuan sumber harian kepada sektor pembangunan dan pertanian yang selama ini menjadi sumber ekonomi utama penduduk.

“Sebuah telaga ini mampu memberi manfaat serta kebaikan jangka panjang buat puluhan ribu penduduk dan diharap dengan bantuan ini, kampung berkenaan menjadi harapan kampung sekitarnya untuk meneruskan hidup,” katanya.

Tambah Zairulshahfuddin, dua telaga dibina dengan tangki penyimpanan air, set penjanaan kuasa elektrik, pam air, sistem saliran dan perparitan air.

SUKARELAWAN IRM ketika pengagihan bantuan.
SUKARELAWAN IRM ketika pengagihan bantuan.

“Ketika ini jumlah dana mendekati angka RM400,000 dan IRM terus positif jumlah secukupnya dapat dikumpul mendekati tarikh projek pembinaan perigi berkenaan,” katanya.

Bagi yang berminat membuat sumbangan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Islamic (562142708704), CIMB Islamic (8602073818), Bank Islam (12029010065643), Affin Islamic (106710002784) dan Bank Rakyat (110801000035). Maklumat lanjut, sila layari Islamic-Relief.org.my dan facebook IslamicReliefMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 1:36 AM