SUKARELAWAN bersama penduduk kampung. FOTO Zunnur Al Shafiq
SUKARELAWAN bersama penduduk kampung. FOTO Zunnur Al Shafiq
Nurul Husna Mahmud


LEBIH 64 keluarga Kampung Orang Asli Sungai Buloh, Jalan Hospital berhampiran Hospital Sungai Buloh, Selangor terpaksa bergelut dengan isu mendapatkan air bersih bagi keperluan harian.

Kebimbangan masyarakat kampung berkenaan didorong kualiti air berkeladak selain dipercayai tercemar berpunca daripada aktiviti kuari di bukit berhampiran.

Penduduk Orang Asli kampung berkenaan masih bergantung kepada sumber air bukit yang mengalir ke tangki simpanan terlebih dahulu sebelum disambung ke paip rumah masing-masing. Ia tidak bersih dan tidak dirawat.

Seorang penduduk, Abdul Latif Golab, 49, menyuarakan keluhan kerana air berkeladak menjadi satu masalah cukup membebankan buat dia dan ahli keluarganya yang terdiri daripada 16 orang termasuk dua cucu itu.

“Akibat sumber air yang tidak bersih, isteri saya, Latifah Upa mengalami jangkitan bakteria pada saluran kencing sementara anak-anak pula tidak dapat ke sekolah.

PENERANGAN mekanisme penapis air boleh digunakan penduduk. FOTO Zunnur Al Shafiq
PENERANGAN mekanisme penapis air boleh digunakan penduduk. FOTO Zunnur Al Shafiq

“Apabila air berkeladak teruk seperti warna air teh susu, tidak tergamak rasanya untuk menyuruh anak-anak mandi mahupun menggunakan air kotor berkenaan. Bukan sehari tetapi berlarutan sehingga lima hari, anak saya tidak ke sekolah,” katanya.

Menyedari keperitan masalah dihadapi Abdul Latif dan masyarakat Orang Asli Sungai Buloh lain, Impact Malaysia (IMPACT) menganjurkan projek perintis pemasangan penapis air bagi membantu penduduk.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IMPACT Ahmed Faris Amir, projek berkenaan ia adalah projek pertama sejak penubuhan organisasi terbabit April lalu.

“Objektif kami bukan sekadar menyelesaikan masalah penduduk semata-mata sebaliknya memberi impak kesan jangka masa panjang iaitu memperkasakan belia dan sosial inovasi.

“Penting untuk dicapai ialah sukarelawan iaitu belia ini diajar mengenai skil dan kemudiannya mereka boleh menggunakan kemahiran itu untuk terus membantu komuniti. Inilah misi utama kami dalam setiap projek diusahakan iaitu dengan kolaborasi Sosial Interprise sebagai ejen perkongsian kemahiran mahupun skil tertentu diperlukan kepada sukarelawan.

NAQIUDIN membantu memasang penapis air di rumah keluarga Latif. FOTO Zunnur Al Shafiq
NAQIUDIN membantu memasang penapis air di rumah keluarga Latif. FOTO Zunnur Al Shafiq

Seorang sukarelawan, Naqiudin Idris, 23, berkata perkongsian skil iaitu memasang penapis itu mudah difahami selain memberi pengetahuan tambahan menyediakan sukarelawan berdepan dengan komuniti.

“Dalam dua hari program bermula Sabtu membabitkan bengkel intensif mendedahkan sukarelawan mengenai mekanisme penapis berkenaan selain kemahiran interaksi bersama penduduk.

“Jadi kami rasa yakin untuk membantu penduduk selain kemahiran ikhtiar hidup meningkat apabila tahu menangani masalah air kotor dengan kaedah terbabit,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Majlis Penduduk KOA Sungai Buloh berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran organisasi mahupun agensi dalam menyumbang kebaikan kepada masyarakat.

“Selaku pengerusi kampung yang bertanggungjawab terhadap sosiopendidikan kampung, program ini baik untuk penduduk,” katanya.

BANTU penduduk dapat air bersih. FOTO Zunnur Al Shafiq
BANTU penduduk dapat air bersih. FOTO Zunnur Al Shafiq

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 12:14 PM