Siti Nadirah Hafidzin

BAYI kecil tidak pandai berkata-kata. Mereka hanya mampu meluahkan perasaan melalui satu cara iaitu menangis yang tidak mudah untuk diterjemahkan.

Bukan pasangan baru pertama kali menjadi ibu bapa saja berasa runsing apabila bayi kerap merengek dan menangis panjang, mereka yang sudah mempunyai anak lain dan berpengalaman juga berasa tertekan tatkala berhadapan keadaan ini apatah lagi jika semua usaha mententeramkan si kecil tidak berhasil.

Semuanya seakan-akan tidak kena, pelbagai cara dan usaha dilakukan bagi memastikan si kecil berhenti menangis. Lebih memeningkan sekiranya tangisan itu berpanjangan tanpa diketahui sebabnya.

Menurut pakar perunding laktasi bertauliah Dr Nurhaya Yacob, secara lumrahnya bayi memang akan menangis sebagai salah satu cara untuk berkomunikasi namun situasi itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada ibu bapa terutama apabila ia berlarutan.

“Ada kalanya situasi boleh menjadi tegang hingga menyebabkan ibu bapa berasa marah dan hilang kawalan hanya disebabkan si anak tidak dapat dipujuk dan terus menangis.

“Kebiasaannya, ibu yang berpengalaman sedikit sebanyak dapat memahami gaya tangisan bayi yang lapar. Ia boleh dikenal pasti dengan gaya menghisap atau meregangkan badannya,” katanya.

Katanya, punca menangis yang tidak dapat dikenal pasti akan membuatkan situasi menjadi lebih sukar namun ibu bapa perlu menghadapi situasi itu dengan tenang dan sabar.

“Cuba tangani situasi itu sebaik-baiknya, jangan sesekali memarahi bayi yang menangis kerana keadaan itu akan menambahkan ketegangan kerana bayi dapat memahami intonasi dan gerak tubuh ibu bapa sekiranya dalam keadaan marah.

“Bertenang dan cuba kenal pasti punca, sekiranya bayi anda terus menangis dengan kuat dalam tempoh agak lama langkah terbaik bawalah bertemu doktor untuk menjalani pemeriksaan,” ujarnya.

 IBU bapa perlu bersabar dalam menangani bayi menangis.
IBU bapa perlu bersabar dalam menangani bayi menangis.

Ada banyak cara yang boleh anda lakukan untuk menenangkan si kecil, bergantung kepada keadaannya. Ini kerana setiap bayi memberi tindak balas berbeza terhadap strategi yang anda gunakan.

Namun secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada tiga keadaan iaitu pencahayaan, bunyi dan sentuhan. Cuba perhatikan adakah bilik atau ruang di rumah anda terlalu terang? Jika ya, padamkan lampu atau tarik langsir untuk membuatkan suasana menjadi malap sedikit. Suasana yang malap lebih menenangkan dan mengurangkan rangsangan kepada bayi.

Sesetengah bunyi boleh memberikan kesan ketenangan kepada bayi anda. Bunyi bising yang tidak jelas seperti bunyi kipas dan pembersih vakum contohnya antara yang ‘menenangkan’ telinga bayi. Boleh juga pasangkan muzik yang lembut atau bacaan surah al-Quran.

Sentuhan juga sangat penting untuk menenangkan bayi anda. Cuba berikan urutan lembut ke seluruh badannya termasuk kaki dan tangan. Selain itu, cuba dakap bayi anda supaya kulitnya bersentuhan dengan kulit anda. Ia juga boleh membuatkan bayi berasa selamat dan selesa.

10 SEBAB BAYI MENANGIS

Kegagalan ibu bapa mengenal pasti punca bayi menangis akan merumitkan keadaan. Kadangkala ia juga akan membuatkan anak lain terganggu dan resah. Dr Nurhaya berkongsi 10 sebab paling lazim yang menyebabkan bayi menangis.

1. KEMBUNG PERUT

Kembung perut berlaku disebabkan beberapa perkara antaranya ialah pemakanan ibu yang menyusukan bayi. Makanan dan minuman seperti ais, minuman berkarbonat, tembikai, mangga dan beberapa jenis sayur tidak digalakkan untuk diambil ibu yang menyusu kerana boleh menyebabkan perut bayi kembung.

Kerapkan sapuan minyak bayi supaya bayi berasa selesa pada bahagian perut, tapak kaki, betis, belakang badan, ubun-ubun dan dada. Pemakaian stokin dan barut juga mungkin dapat membantu terutama kepada bayi di bawah usia enam bulan.

2. LAMPIN PAKAI

BUANG BASAH

Bayi yang tidak selesa kerana lampin penuh juga akan menangis sebagai cara untuk memaklumkan kepada si ibu supaya menukar lampinnya.

Segeralah tukar lampin bayi sekiranya penuh. Jangan biarkan lampin bayi anda menjadi terlalu penuh kerana ia boleh menyebabkan kemunculan ruam. Kala menukar lampin, periksa jika ada ruam. Bayi berkemungkinan juga berasa gatal di punggung kerana ruam lampin. Sapukan krim ruam atau ubat yang berkaitan setiap kali menukar lampin.

3. MENGANTUK DAN LETIH

Seperti orang dewasa, bayi juga akan menjadi tidak keruan sekiranya mengantuk. Sesetengah bayi tidak mudah untuk tidur walaupun selepas menyusu kerana perlu didodoi terlebih dulu.

Sesetengah ibu menganggap bayi yang letih perlu ditidurkan. Tidak semestinya, kadang kala mereka cuma mahukan keadaan yang tenang. Jika dalam perjalanan jauh, kerapkan berhenti di hentian rehat atau di kawasan yang sesuai. Semasa di dalam kereta juga, dukung atau angkat bayi sekali sekala kerana kemungkinan bayi penat berbaring atau duduk.

CUBA kenal pasti punca bayi menangis.
CUBA kenal pasti punca bayi menangis.

4. SUHU TERLALU PANAS

ATAU SEJUK

Keadaan suhu yang keterlaluan adalah antara sebab bayi menangis. Oleh kerana tidak pandai mengadu, bayi akan menangis jika berasa terlalu sejuk atau panas.

Perhatikan cuaca dan suhu di tempat anda berada, sekiranya keadaan agak sejuk, pakaikan bayi anda pakaian yang sedikit tebal berserta topi, sarung tangan dan sarung kaki bagi bayi yang di bawah usia enam bulan.

Pakaikan pakaian nipis pada hari panas. Jika berada di rumah, pasang kipas atau pendingin hawa pada suhu yang sederhana supaya bayi selesa.

5. SEMBELIT

Bayi mudah mengalami sembelit walaupun menyusu susu ibu. Ini kerana sistem pencernaan mereka sangat sensitif dan kadang kala tidak dapat bertindak balas dengan baik terhadap makanan tertentu. Cuba tuam perut, urut dengan minyak aromaterapi atau mengusap perlahan untuk membantu melegakannya.

6. NAK TUMBUH GIGI

Fasa tumbuh gigi adalah fasa yang agak menyakitkan apabila gigi pertama menembusi gusi. Kadang kala berasa tidak selesa dan ‘gatal-gatal’ yang menjadi sebab bayi menangis. Cuba berikan mereka menghisap sesuatu yang sejuk seperti buah-buahan alat gigitan bayi.

7. REAKSI TERHADAP PERSEKITARAN BARU

Antara sebab bayi menangis adalah apabila mereka tidak selesa atau ‘takut’ dengan keadaan baru. Mungkin beberapa minggu pertama mereka akan menangis dan perlu mengambil masa untuk berasa sesuai dengan pengasuh baru. Pada masa sama ada bayi yang teruja tetapi ada juga yang rasa rimas apabila dikelilingi ramai orang.

8. BOSAN

Mereka ingin bermain dan bosan apabila ditinggalkan bersendirian. Cuba bawa mereka bermain sebentar dan ajarkan mereka menggunakan barang permainan tertentu supaya bayi boleh bermain sendiri kelak.

9. PERLU DISENDAWAKAN

Bayi yang menyusu botol mudah tertelan angin dan berasa tidak selesa apabila selesai menyusu. Oleh itu, biasakan sendawakan si kecil dengan kerap sebelum atau selepas menyusu.

10. ANDA TERTEKAN

Kadang kala ibu bapa tidak perasan nada kita bercakap dengan bayi semasa mereka menangis. Bayi sebenarnya sangat sensitif dan dapat mengenal pasti kemarahan terutama individu yang rapat dengannya.

Oleh itu, banyakkan bertenang dan cuba bergilir-gilir dengan suami atau penjaga untuk memastikan emosi si ibu dalam keadaan terkawal apabila cuba menenangkan bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 7:01 AM