KEHADIRAN bayi sentiasa menceriakan ibu bapa.
KEHADIRAN bayi sentiasa menceriakan ibu bapa.
URUTAN bayi yang betul meningkatkan keseluruhan perkembangan bayi.
URUTAN bayi yang betul meningkatkan keseluruhan perkembangan bayi.
IKATAN antara ibu dan bayi dapat ditingkatkan dengan urutan bayi.
IKATAN antara ibu dan bayi dapat ditingkatkan dengan urutan bayi.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Kehadiran cahaya mata tentunya saat yang paling dinanti buat pasangan suami isteri terutamanya buat mereka yang baru pertama kali mengalaminya.

Namun, di sebalik kegembiraan menyambut insan kecil ke dunia selepas sembilan bulan dalam kandungan, ramai ibu bapa yang tidak melakukan persediaan rapi dari segi mental dan fizikal.

Aktiviti harian akan menjadi sibuk selepas kelahiran bayi. Penjagaan bayi yang baru lahir mungkin dilihat terhad kepada penyusuan, mandi, menukar lampin dan memujuk, namun terdapat penjagaan lain yang diperlukan oleh bayi.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, penjagaan kesihatan bayi yang lain termasuklah penjagaan kulit bayi, memahami tangisan bayi dan membantu dalam perkembangan bayi.

|

Penyusuan bayi: Apa yang perlu diketahui

- Susu ibu adalah makanan yang paling sesuai bagi bayi. Penyusuan susu ibu memberikan faedah dari segi fizikal dan emosi kepada ibu dan bayi. Sebaik-baiknya berikan susu badan kepada bayi secara eksklusif sekurang-kurangnya untuk enam bulan pertama dan boleh diteruskan sehingga 12 bulan.

- Menyusui bayi mengikut permintaan: Lebih kurang lapan hingga 12 kali sehari. Biasanya selepas dua hingga tiga bulan bayi akan selesa dengan penyusuan sebanyak enam hingga lapan kali sehari.

- Mengikuti cara bayi anda menyusu seperti menggerak-gerakkan badan, menggeliat, pergerakan menghisap dan pergerakan bibir.

- Mengetahui bila bayi anda kenyang: apabila bayi berhenti menghisap, menutup mulut atau mengalih mulutnya dari puting, dia mungkin kekenyangan atau berehat sebentar. Cuba sendawakan bayi atau tunggu sebentar sebelum menyusukan sekali lagi. Sekiranya bayi kenyang, bayi akan mengelak daripada disusukan.

- Menyusu dengan mencukupi: Ibu bapa sentiasa risau sama ada bayi mereka menyusu dengan mencukupi atau tidak. Beberapa panduan berikut mungkin dapat membantu.

1. Perhatikan kepuasan bayi antara masa penyusuan, kesihatan kulit dan peningkatan berat badannya. Bayi anda mungkin tidak menyusu dengan secukupnya sekiranya dia kurang buang air besar atau air kecil dan lampin ditukar kurang daripada enam hingga lapan kali sekali atau dia sentiasa tidur sepanjang masa. Jika anda mengesyaki yang bayi anda mungkin tidak menyusu dengan cukup, anda perlu membawanya berjumpa dengan doktor.

2. Apabila bayi sentiasa menangis: dia mungkin lapar, letih, hendak menukarkan kedudukan, berasa tidak selesa atau perlu ditukarkan lampin, sendawa atau didodoi.

Anda mungkin berasa tertekan sekiranya si kecil menangis tidak berhenti. Namun, anda mesti cuba bertenang sepanjang masa dan jangan menggoncang bayi kerana ini boleh menyebabkan kecederaan yang serius.

Bayi dilahirkan terlalu awal

Ada kala bayi akan dilahirkan lebih awal daripada yang dijangkakan disebabkan faktor tertentu. Bayi tidak cukup bulan mempunyai keperluan khas. Sekiranya bayi dilahirkan terlalu awal, bayi perlu diberikan penjagaan di unit penjagaan khas yang disediakan untuk si kecil.

Antara masalah yang akan dibincangkan oleh doktor adalah:

- Masalah pernafasan.

- Memerlukan bantuan untuk mengekalkan suhu badan

- Masalah penyusuan.

- Mudah mendapat jangkitan.

- Episod berhenti bernafas (apnea).

- Pendarahan dalam otak, terutamanya bagi bayi yang dilahirkan sebelum minggu ke-34. Komplikasi jangka masa panjang adalah masalah pendengaran atau penglihatan, kelewatan perkembangan atau kelemahan dalam pembelajaran.

Dalam penjagaan kulit bayi pula, sesetengah bayi mungkin mengalami keadaan ini.

Infantile seborrheic dermatitis yang juga dikenali sebagai keruping kepala atau buaian (cradle cap), menyebabkan tompokan sisik di kulit kepala. Walaupun tidak serius, ia boleh mengakibatkan kerak yang keras dan sisik putih atau kuning. Keruping ini biasanya akan hilang dengan sendiri dalam beberapa bulan, namun mencuci kepala bayi setiap hari menggunakan syampu boleh membantu untuk mengurangkan dan menghilangkan sisik. Berjumpa dengan doktor jika keruping masih kekal atau kelihatan semakin serius.

Ruam lampin adalah masalah biasa yang disebabkan menggunakan lampin basah dalam tempoh agak lama. Ia dirawat dengan memberikan pengudaraan pada bahagian bawah bayi. Pastikan bahagian bawah bayi bersih dan kering sepanjang masa untuk mengelakkan daripada ruam lampin. Jumpa dengan doktor sekiranya ruam tidak hilang.

‘Miliaria crystallina’ atau dipanggil milia adalah benjolan kecil berwarna putih di bahagian hidung, dagu dan pipi. Kebanyakan bayi mempunyai milia yang terjadi apabila cebisan kulit yang sangat kecil tersangkut dalam kantung yang kecil berdekatan permukaan kulit bayi. Kebanyakan kes milia akan hilang dengan sendirinya dalam beberapa minggu.

Jangkitan yis adalah ruam berwarna merah terang pada bahagian bawah bayi atau bahagian lain di mana kulit bersentuhan dengan kulit. Jangkitan yis disebabkan mikro organisma (Candida albicans) yang terdapat di persekitaran yang panas dan lembap. Ia biasanya dirawat dengan krim antikulat.

‘Oral thrush’ adalah satu lagi masalah yang sering terdapat di mulut bayi. Lapisan putih yang biasanya dilihat di bahagian lidah, pipi dan lelangit adalah jangkitan oleh kulat Candida albicans. Anda dinasihati supaya membawa bayi anda berjumpa dengan doktor untuk mendapat rawatan.

Mengurut bayi

Sejak beberapa tahun lalu, ada banyak kajian dibuat dalam bidang mengurut bayi sama ada menggunakan sentuhan, mengurut dan refleksologi bagi mempromosi kesihatan bayi.

Mengurut meningkatkan perkembangan bayi termasuk otak, fizikal, emosi, mental dan perkembangan sosial. Ada bukti menunjukkan sentuhan kasih sayang dapat membantu bayi membesar dan berkembang.

Bayi yang diurut kerap kali oleh ibu bapa biasanya kurang menangis berbanding bayi yang tidak diurut. Ia mungkin berkaitan dengan fakta di mana bayi akan tidur lebih lama dan menghasilkan kurang hormon tekanan berbanding bayi yang tidak diurut. Selain itu, fungsi sistem pencernaannya juga meningkat.

Memandangkan begitu banyak faedah mengurut, ibu bapa kepada bayi yang tidak cukup bulan digalakkan mengurut bayi mereka untuk membantu tumbesaran dan perkembangannya.

Sentuhan yang lembut dan penuh kasih sayang dapat meningkatkan ikatan anda dengan bayi anda melalui komunikasi secara positif dan pemeliharaan hubungan.

Bercakap atau menyanyi kepada bayi semasa mengurut dapat membantu bayi untuk mempelajari bahasa. Pengekalan hubungan mata semasa mengurut adalah penting untuk komunikasi dan mengenali isyarat bayi.

Antara faedah mengurut termasuk:

- Menyokong proses ikatan antara anda dan bayi.

- Melegakan tekanan otot si kecil.

- Menenangkan bayi dan melegakan simptom sawan tangis atau kolik.

- Menyumbangkan kepada perkembangan otak dan motor serta keyakinan diri.

- Membantu bayi mempelajari postur yang betul dan cara pergerakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 1:04 PM