JANGAN menyalahkan pasangan sekiranya masih tidak mempunyai anak.
JANGAN menyalahkan pasangan sekiranya masih tidak mempunyai anak.
Siti Nadirah Hafidzin

Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga tentu mengharapkan cahaya mata sebagai pelengkap hubungan suami isteri.

Soal zuriat juga dianggap perkara paling penting dalam sebuah keluarga bagi menjamin kesinambungan keturunan.

Namun, tidak semua pasangan dikurniakan zuriat dalam tempoh cepat kerana tentu ada yang terpaksa menunggu dalam tempoh lama.

Dugaan yang datang dalam menanti kehadiran cahaya mata perlu diterima dengan keterbukaan hati dan fikiran.

Paling penting, pasangan terbabit perlu menjalani pemeriksaan rapi dengan pakar bagi mengetahui sebab berlakunya masalah itu.

Berkongsi pandangan dalam isu ini, Perunding Fertiliti dan Sakit Puan Metro IVF Dr Prakash Mayandi berkata, melalui pemerhatian dan kajiannya, masalah kesuburan menjadi antara penyebab utama pasangan sukar mendapatkan zuriat.

“Jika menyentuh mengenai masalah kesuburan, statistik menunjukkan 30 peratus lelaki mengalami masalah itu, 30 hingga 40 peratus bagi golongan wanita manakala selebihnya daripada sebab tersendiri.

“Oleh itu, tiada siapa yang boleh dipersalahkan dalam isu kesuburan ini kerana ia sesuatu yang subjektif,” katanya.

Dr Prakash berkata, persepsi masyarakat yang sering menjurus kepada wanita yang dikatakan menjadi penyebab utama apabila tidak mendapat cahaya mata ternyata tidak berasas.

“Wanita dan lelaki kedua-duanya mempunyai potensi mengalami masalah kesuburan, namun sering kali dilihat masalah itu menjadi sebab utama pasangan terbabit bergaduh dan saling menyalahkan satu sama lain.

“Hakikatnya, tekanan yang dialami akibat masalah atau pergaduhan ini lebih menyukarkan proses kehamilan berlaku,” ujarnya.

Menurutnya, semua individu terutama pasangan yang berusaha memiliki anak perlu mengetahui selain usia, tahap kesihatan diri dan berat badan, tahap keseimbangan emosi dan mental turut mempengaruhi kesuburan seseorang.

“Dalam erti kata lain, setiap pasangan perlu bertenang dan mengelakkan diri daripada tekanan sekiranya sedang berusaha memiliki zuriat.

“Bertenang dan jangan kelam kabut, tahap kestabilan emosi memainkan peranan terpenting dalam usaha kehamilan. Selain itu, jangan pula terlalu berharap kerana ia lebih memburukkan keadaan,” katanya.

Dapatkan khidmat nasihat

Menurut Dr Prakash, langkah terbaik bagi mengatasi apa juga masalah terutamanya yang membabitkan kesuburan adalah mendapatkan khidmat nasihat pakar.

“Masalah kesuburan boleh diatasi, terdapat pelbagai kaedah perubatan kini yang mampu membantu mengatasi masalah ini.

“Pertelingkahan atau saling menyalahkan bukanlah satu penyelesaian yang baik malah ia mungkin memburukkan keadaan hingga mengakibatkan perceraian sekiranya gagal diatasi,” katanya.

Menurutnya, antara langkah rawatan tepat kepada pasangan yang berusaha memiliki anak adalah khidmat nasihat, pemeriksaan dan rawatan.

“Kajian mendapati 80 peratus wanita berjaya hamil selepas menerima nasihat tepat dan atas sebab itu, khidmat nasihat adalah sesuatu yang amat penting kerana ia terbukti mampu memberi semangat dan kesan positif pada seseorang.

“Selain itu, sekiranya masih gagal hamil, setiap pasangan perlu datang bertemu pakar bagi mengetahui punca masalah seperti menjalankan pemeriksaan darah, tiub peranakan, rahim dan sperma,” ujarnya.

Tambah Dr Prakash, selepas mengetahui punca, seeloknya pasangan terbabit segera menjalankan rawatan bersesuaian.

DAPATKAN nasihat pakar dan rawatan dalam mengatasi masalah kesuburan.
DAPATKAN nasihat pakar dan rawatan dalam mengatasi masalah kesuburan.

“Jangan sesekali melambatkan proses rawatan kerana semakin meningkat usia pasangan itu, semakin sukar memiliki cahaya mata walaupun melalui kaedah rawatan kesuburan.

“Usaha mendapatkan cahaya mata ini memerlukan kesabaran dan ketenangan, penting mendapatkan rawatan pakar bagi memastikan semua berjalan dengan lancar,” katanya.

Selain itu, cuba elakkan daripada perkara yang boleh mendatangkan tekanan kerana ia hanya memburukkan keadaan dan hubungan suami isteri selain merendahkan lagi peluang untuk hamil.

Ini kerana dalam keadaan tertekan, pasangan hilang keinginan untuk bersama dan mengadakan hubungan kelamin, kurang bercakap, selalu sukar melelapkan mata, tabiat makan mula berubah (sama ada makan terlalu banyak atau tidak lalu makan) dan menjejaskan kitaran haid wanita.

Walaupun ia bukan pencetus kepada masalah kesuburan tetapi semua perkara ini sedikit sebanyak boleh menyebabkan pasangan lebih sukar untuk mendapatkan anak.

Cara tenangkan diri

Berikut adalah beberapa cadangan yang boleh anda dan pasangan lakukan untuk memenangkan diri ketika berusaha menimang cahaya mata:

• Membenarkan diri untuk berasa sedih dan menangis

Ini adalah perasaan normal yang dialami semua pasangan yang sukar hamil. Menangis dan bersedih boleh membantu mengembalikan keseimbangan hormon dan mungkin meningkatkan peluang untuk hamil. Namun, jangan biarkan kesedihan itu berterusan.

• Fahami reaksi pasangan

Berbincanglah dengan pasangan tetapi janganlah mengharapkan dia juga mempunyai perasaan yang sama seperti anda. Wanita biasanya lebih terkesan dalam hal ini.

• Cari maklumat

Dapatkan maklumat mengenai masalah kesuburan dan rawatan yang boleh dicuba supaya anda mendapat keputusan terbaik.

• Buat pelan alternatif

Ini sangat penting dalam usaha mendapatkan anak. Jika kaedah rawatan pertama tidak berjaya, anda mungkin memikirkan cara kedua dan semua ini membabitkan banyak kos.

• Jangan putus asa

Teruskan kehidupan sebaik mungkin. Carilah aktiviti yang boleh membuatkan kehidupan lebih bermakna. Ini secara tidak langsung akan mengurangkan anda daripada terlalu memikirkan soal ingin hamil.

• Amalkan teknik bertenang

Ada banyak cara yang boleh anda lakukan bersama sama ada bersenam, bercuti atau menyertai aktiviti yang menggembirakan.

• Dapatkan sokongan

Maklumkan keluarga dan rakan mengenai perasaan anda supaya mereka lebih memahami serta tidak lagi mengajukan soalan yang boleh menyedihkan anda berdua. Beritahu mereka bahawa anda perlukan sokongan. Anda juga boleh mendapatkan pandangan pakar untuk menjalani kehidupan rumah tangga yang bahagia walaupun tiada cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 6:59 AM