AKTIF mengendalikan latihan dan bengkel.
AKTIF mengendalikan latihan dan bengkel.
Intan Mas Ayu Shahimi

Suara wanita ini cukup lunak pada pendengaran. Lembut, tersusun, penuh keibuan dan kasih sayang. Selalunya Prof Dr Rozieta Shaary menjadi rujukan untuk penulisan artikel berkaitan keibubapaan.

Malah wanita ini juga kerap diundang berkongsi pengetahuan dalam pelbagai program serta acara yang berkaitan. Senang membahasakan dirinya sebagai Ibu Rose, Dr Rozieta tidak lokek memberi cadangan mahupun teguran positif kepada sesiapa saja yang ditemui secara kebetulan.

Bagi wanita ini, berkongsi ilmu keibubapaan adalah tanggungjawabnya demi merealisasikan impian melihat dunia harmoni yang sarat rasa cinta dan perhatian.

Apabila mengetahui wanita ini menerima Anugerah Ikon Memperkasakan Ibu Bapa dan Keluarga daripada Niaga Times baru-baru ini, penulis tumpang gembira.

Kata Dr Rozieta, beliau terharu dan berbangga apabila usahanya memperkasa ibu bapa dan institusi keluarga sejak 29 tahun lalu mula mendapat pengiktirafan.

DR Dr Rozieta bersama anugerah yang diterima.
DR Dr Rozieta bersama anugerah yang diterima.

“Pada awal pembabitan dulu, saya menceburi bidang latihan dan banyak mengendalikan program motivasi untuk pelajar. Melihat kegigihan dan potensi yang ada, suami pula nekad bersara daripada bidang kejuruteraan awam.

“Sejak itu, kami mula berganding bahu dalam bidang ‘kejuruteraan manusia’. Mungkin suami jatuh hati dengan bidang ini, sebab itulah dia bersara. Sedangkan ketika itu, syarikatnya menempa kejayaan besar,” katanya.

Perkasa keluarga

Bermula 1998, pasangan ini bergerak aktif mengendalikan pelbagai program latihan pembangunan modal insan untuk pelajar. Kemudian menyusul peluang mengendalikan latihan korporat dalam bidang komunikasi, kepemimpinan, hubungan kerja, kerjasama berpasukan, kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ).

“Semua latihan ini menyentuh peranan, tanggungjawab, keibubapaan dan nilai dalam keluarga serta masyarakat. Menjelang 2011, selepas mengendalikan banyak program latihan, saya mula nampak punca masalah sebenar dalam masyarakat.

“Apabila dikaji kembali, kebanyakan isu berkaitan kepemimpinan keluarga dan kerjaya, bermula daripada proses mereka membesar. Mereka berpegang kepada sistem keyakinan yang salah dan akhirnya tersilap langkah.

“Ini saya kesan apabila bertemu kembali dengan anak didik yang pernah mengikuti latihan dan bengkel ketika mereka bergelar pelajar dulu. Sekarang kebanyakan mereka sudah berkeluarga dan memiliki kerjaya yang baik.

“Ramai anak didik ini memberitahu, mereka bersyukur kerana pernah mengikuti program latihan yang saya kendalikan bersama suami. Mereka mengambil setiap ajaran positif dan mempraktikkan sehingga berjaya dalam kerjaya serta membentuk keluarga lebih sempurna. Di situlah permulaan besar saya dalam memperkasa keluarga dengan ilmu keibubapaan,” katanya.

BERSAMA suami tercinta, Mohd Marzuki Mohamed.
BERSAMA suami tercinta, Mohd Marzuki Mohamed.

Lebih daripada itu, Dr Rozieta percaya beliau perlu terus berani untuk menceburi bidang keibubapaan, seterusnya melaungkan betapa pentingnya ilmu dalam membentuk keluarga serta modal insan cemerlang.

“Tidak kira sesiapa saja di dunia ini, mereka boleh naik dan jatuh akibat kesan daripada keibubapaan. Jika gagal, keluarga boleh jadi kucar-kacir, komuniti menerima kesan negatif, negara tidak terkawal dan akhirnya dunia menerima padah serupa.

“Saya sendiri pernah mengikuti program meditasi jiwa. Dalam perjalanan minda dan hati itu, saya melihat dunia ini terbakar. Senario ini berlaku berpunca daripada kemarahan daripada satu generasi ke generasi lain.

“Sebenarnya, dunia terbakar hanyalah simbolik. Bagaimana kemarahan ibu bapa mudah merosakkan anak dan mencetuskan masalah sosial yang lebih buruk. Keibubapaan ketika itu tidak menyeluruh dan anak dibesarkan tanpa kualiti. Ia tidak sealiran dengan pembangunan psikologi manusia.

“Jauh berbeza dengan dunia hari ini, orang ramai mula bersikap terbuka dan menerima pentingnya ilmu keibubapaan. Sehinggalah anugerah ikon ini diberi, saya melihat keibubapaan masih perlu diperkukuh dari semasa ke semasa,” katanya.

Kumpul pakar ibu bapa

Ditanya soal perancangan terdekatnya, Dr Rozieta mahu melangkah lebih jauh. Katanya, anugerah ikon berkenaan bukan sekadar membakar semangat dalam dirinya, malah mampu menjadi pembuka jalan untuk beliau terus bersatu hati dengan lebih ramai pakar keluarga dalam menangani isu keibubapaan.

“Alhamdulillah, selain aktif sebagai pelatih ilmu pengembangan diri (Neuro-Semantics) bertauliah, saya juga sudah menulis empat buku. Buku bertajuk A Love World, The Time Has Come menjadi rujukan ilmu keibubapaan untuk panduan pasangan yang sudah berkeluarga.

“Saya percaya, setiap pakar keibubapaan mempunyai teori hampir serupa dalam mewujudkan modal insan dan keluarga berjaya. Selepas ini, saya mahu mengumpulkan pakar dalam bidang ini untuk kami sama-sama berkongsi idea dan pandangan supaya seiring dengan perubahan semasa.

“Kalau boleh, saya mahu mewujudkan persamaan mesej, tujuan dan visi dalam merealisasikan dunia yang lebih baik. Saya tidak menganggap anugerah ini sebagai beban, tetapi ia sebenarnya membuka ruang untuk terus berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 2:57 PM