KHADIJAH menyifatkan ramai ibu bapa mempunyai anak bakat istimewa sibuk mengaut keuntungan hasil kepandaian anak.
KHADIJAH menyifatkan ramai ibu bapa mempunyai anak bakat istimewa sibuk mengaut keuntungan hasil kepandaian anak.
Nurul Husna Mahmud


ANAK mempunyai kepintaran intelektual (IQ) tinggi terutama dalam menguasai sesuatu bidang sering menjadi tumpuan kerana dilihat suatu anugerah luar biasa.

Fenomena anak dilihat sebagai genius bukan sahaja mengujakan orang luar malah ibu bapa anak itu sendiri sehingga mereka merencana pelbagai perancangan membolehkan bakat anak berkenaan dikenali.

Namun di sebalik kemasyhuran iaitu apabila sudah popular dan menjadi perhatian umum, ada ibu bapa yang melihatnya sebagai satu keuntungan boleh dimanfaatkan.

Sama ada untuk anak atau kepentingan ibu bapa sehingga keperluan asas untuk perkembangan anak itu sendiri terabai.

Impak itu cukup serius kerana anak itu akan hilang 'zamannya' dan menyebabkan dia tidak dapat menangani konflik sehingga memberi tekanan pada diri sendiri.

Itu senario dikongsi Pakar Perkembangan Awal Kanak-Kanak yang juga Pengarah Latihan Peoplezone Training & Consultancy Khadijah Saraswathy mengenai kebanyakan ibu bapa yang memiliki anak dikurniakan bakat istimewa sehingga dikelaskan sebagai genius dunia.

MELUKIS antara ruang ekspresi buat anak-anak.
MELUKIS antara ruang ekspresi buat anak-anak.

Katanya ibu bapa ini lebih fokus untuk 'mengaut' keuntungan dengan perhatian pihak luar sehingga melihat ia satu bentuk eksploitasi pada anak-anak.

"Saya lihat kebanyakan ibu bapa kepada anak-anak ini teruja dengan bakat anak mereka sehinggakan tidak sedar segala peluang direbut berlandaskan bakat anak adalah satu bentuk eksploitasi.

"Anak genius ini masih dalam perkembangan usia mereka melalui zaman kanak-kanak 'dipaksa' melakukan sesuatu di luar kebiasaan normal anak seusia mereka.

"Anak ini terpaksa menghadiri pelbagai jemputan luar dan hari minggu pula diisi dengan program sosial membuatkan mereka tidak punya waktu sendiri," katanya.

Merujuk kepada kelebihan anak genius, kebiasaannya kata Khadijah, mereka ini cemerlang dalam satu aspek tertentu sahaja dan ibu bapa lupa untuk penuhi keperluan lain yang sangat penting untuk perkembangan mereka.

"Dalam perkembangan kanak-kanak genius, ibu bapa perlu sedar anak mereka ini masih kanak-kanak dan empat unsur penting untuk perkembangan individu bermula dengan fizikal, intelektual, emosi dan kerohanian perlulah dilengkapkan.

"Namun kebanyakan ibu bapa lebih fokus untuk beri penekanan kepada kelebihan anak atau suatu aspek sehingga keperluan lain gagal diperoleh anak.

"Akhirnya anak tadi mengalami konflik diri sehingga membuatkan mereka 'memberontak' apabila menginjak dewasa atau remaja," katanya.

PENGISIAN rohani seperti pengajian agama penting untuk perkembangan anak.
PENGISIAN rohani seperti pengajian agama penting untuk perkembangan anak.

Keadaan itu dapat dilihat dari kisah anak-anak genius yang pernah popular di dada akhbar suatu ketika dulu mula berdepan beberapa isu kerana tidak dapat lagi menerima tekanan daripada permintaan keluarga yang mahu mereka mengekalkan kecemerlangan dalam bidang terbabit.

Lebih dikesalkan ada juga pengakhiran tragedi apabila anak genius yang mengalami kemurungan sehingga bertindak di luar kawalan.

Justeru, pakar itu menyarankan setiap ibu bapa perlu ada tanggungjawab termasuklah mempelajari ilmu keibubapaan. Ia dalam usaha membantu menangani isu perkembangan anak-anak termasuklah anak yang mempunyai bakat istimewa.

"Sebenarnya kekurangan dalam sistem masyarakat kita iaitu ibu bapa tidak menyedari persiapan perlu ada iaitu menghadiri atau mempelajari skil keibubapaan.

"Berbeza dengan amalan segelintir komuniti yang mana mereka ini ada kesedaran mengenai kepentingan untuk mempelajari kemahiran keibubapaan selain mengetahui mengenai perkembangan awal kanak-kanak.

"Satu contoh saya lihat pada kenalan yang juga seorang ekspatriat dari Sri Lanka yang mana beliau membaca buku penulisan Benjamin Spock iaitu Pakar Perkembangan Kanak-kanak sebelum kahwin lagi.

"Rakan saya berpendapat ilmu ibu bapa itu penting dalam membantu mengendali keharmonian keluarga walaupun ketika itu beliau masih bujang dan merancang mahu berkahwin dalam tempoh terdekat," katanya.

STATUS anak genius boleh menjadi satu tekanan buat anak disebabkan tekanan atau harapan ibu bapa diletakkan begitu tinggi.
STATUS anak genius boleh menjadi satu tekanan buat anak disebabkan tekanan atau harapan ibu bapa diletakkan begitu tinggi.

Selain ilmu keibubapaan yang boleh membantu, Khadijah berkata, elemen lain seperti asuhan nilai-nilai murni dan aspek kerohanian juga perlu diberi penekanan.

"Bagi keluarga Islam, sebenarnya kita sudah menpunyai garis panduan yang mana dalam agama sudah ada dijelaskan baik dalam al-Quran dan hadis.

"Perjalanan kisah sirah sendiri mempunyai contoh bagaimana asuhan anak sejak kecil termasuk Rasulullah SAW sendiri ketika kecil sudah dihantar kepada ibu susuan iaitu Halimatus Saadiah dari kaum Bani Saad untuk dibesarkan dalam persekitaran desa.

"Pada pemahaman saya, itu contoh yang mana anak dibesarkan di desa lebih bebas untuk meneroka dekat dengan alam semula jadi selain diajar mengenai rasa rendah diri," katanya.

INTERAKSI dengan anak-anak sebaya bantu wujudkan perkembangan emosi sihat.
INTERAKSI dengan anak-anak sebaya bantu wujudkan perkembangan emosi sihat.

Berikut Khadijah senaraikan lima tip penting dalam amalan ibu bapa untuk membesarkan anak mereka terutama yang mempunyai bakat istimewa dan genius:

1. Ibu bapa perlu rasa bersyukur melangkaui mana-mana perasaan membolehkan mereka lebih peka dan prihatin terhadap keperluan anak.

2 . Menyedari anugerah anak genius atau memiliki bakat istimewa satu amanah Allah. Ia boleh jadi satu ujian kepada mereka.

3. Mencari guru dan pembimbing sesuai terutama dalam hal agama dan menjadi pembantu ibu bapa memperbaiki skil keibubapaan.

4. Amalkan doa dan lafaz Masya'Allah dalam melindungi 'panahan mata.'

5. Lengkapi keperluan estetika anak seperti keinginan melukis, bermain dan interaksi mereka dengan rakan sebaya serta alam semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 6:30 AM