SENTIASA memastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan.
SENTIASA memastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan.
Siti Zarinah Sahib


Ketika remaja seangkatan usia sibuk menelaah pelajaran untuk menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), wanita ini pula sebaliknya. Dia mula berangan-angan menjadi usahawan berjaya sama ada membuka kedai dobi, butik atau salun. Dia langsung tidak berminat dalam pelajaran sebaliknya jiwa Siti Hajar Jamil lebih kepada bidang kemahiran.

Ternyata kata hatinya benar apabila dia berpeluang meneruskan pengajian ke Sekolah Menengah Vokasional dan mula mengasah kemahiran menjahit. Namun selepas berjaya menjahit pakaian sendiri wanita kelahiran Johor Bahru ini mulai sedar dia lebih meminati bidang dandanan selepas kali pertama mengunjungi salun rambut.

“Saya tertanya-tanya mengapa semua salun kebanyakannya milik bangsa asing dan bukan orang Islam sedangkan ramai wanita Melayu inginkan rambut yang sihat dan cantik. Bermula dari situ saya berazam membuka perniagaan dandanan rambut berkonsepkan Muslimah suatu hari nanti,” katanya.

Demi memastikan impiannya tercapai, dia mengatur langkah satu persatu dan nekad mengumpul pendapatan sendiri. Apabila diambil bekerja di sebuah salun kepunyaan kerabat diraja terkenal di Johor Bahru ia bagaikan peluang keemasan. Dua tahun menimba pengalaman, Siti Hajar memberanikan diri menyambung pengajian ke peringkat diploma di Institut Morris International Singapura.

“Bagi saya ilmu teori dan amali sama penting. Ini kerana kemahiran mendandan dinilai melalui kebolehan mengkoordinasi kemahiran tangan dan fikiran serentak yang datangnya daripada pengalaman dan juga secara berguru,” katanya yang ditemui di salun miliknya Siti Salon Al Zahrah di Taman Seri Rampai Setapak.

SITI HAJAR
SITI HAJAR

Modal RM60

Dengan sedikit ilmu yang dimilikinya, Siti Hajar membuka salun kecil di rumah. Bermodalkan RM60 dia membeli peralatan mendandan, kerusi plastik dan meja untuk kegunaan pelanggan. Namun malangnya perniagaannya bertahan setahun saja apabila terpaksa mengikut suami yang bertugas sebagai tentera laut berpindah ke Lumut, Perak. Di sana wanita ini terpaksa membuka salun kembali.

“Perniagaan ketika itu tidaklah berkembang tapi hanya sekadar cukup makan. Namun saya tidak patah semangat dan tetap berusaha membangunkan perniagaan dandanan sehinggalah pada 1990 mendapat ‘hidayah’ Allah apabila ingin menukar kepada konsep Muslimah sepenuhnya. Saya turut menghantar risalah dari rumah ke rumah dan pejabat bagi mengiklankan perkhidmatan yang disediakan di Siti Salon Al Zahrah,” katanya.

Bermula detik itu salun semakin dikenali, permintaan semakin tinggi sehingga Siti Hajar mula mengadakan kelas latihan mendandan kepada mereka yang berminat. Istimewanya kelas ini berkonsepkan Islamik menyebabkan ia mendapat perhatian. Ini mendorong Siti Hajar mengembara ke luar negara bagi menambah ilmu dalam bidang dandanan.

“Saya terbang ke London bagi bertemu pakar rambut terkenal, di Akademi Thomas & Guys. Dari situ saya mengenali ramai pendandan tersohor dunia dan seterusnya membawa saya ke beberapa kota terkemuka yang memiliki kepakaran dalam dandanan. Antaranya Paris, Milan, Dubai, Jakarta dan Pakistan,” katanya yang semakin yakin dengan hala tujunya selepas ini.

Semangat dan kesabarannya menjalankan kelas latihan dan bengkel dandanan menyebabkan rezekinya semakin murah sehingga mampu membeli kedai di Setiawan, Perak dan membuka cawangan di Johor Bahru pada 2009. Namun ujian datang pada saat namanya semakin dikenali apabila dia terpaksa menutup perniagaan di Setiawan dan Johor yang berpunca daripada unsur khianat serta masalah dalaman.

“Saya kerugian ratusan ribu ringgit dan hampir ‘terduduk’ dengan apa yang berlaku. Namun saya percaya apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Berkat doa ibu yang juga mentor, saya tidak mengambil masa lama untuk berduka. Pada 2012, saya membuka salun di Shah Alam diikuti Bangi Gateway dan Sri Rampai Setapak setahun kemudian,” katanya bersemangat.

SITI HAJAR bersama pekerja yang banyak memberikan sokongan selama ini.
SITI HAJAR bersama pekerja yang banyak memberikan sokongan selama ini.

Bantu orang Melayu

Menyelami hati wanita ini sememangnya dia berjiwa kental. Sambil bercerita tidak putus-putus dia memberitahu impiannya kini bukanlah berdasarkan keuntungan semata-mata sebaliknya membantu orang Melayu mengenai kemahiran yang boleh dipelajari dan pentingnya menjaga rambut.

Sepanjang 36 tahun berada dalam industri itu, tidak ramai orang Melayu berani menjadi pendandan disebabkan takut berhadapan cabaran sedangkan mereka memiliki bakat dan kebolehan setanding bangsa lain.

Oleh itu menerusi latihan yang diadakan ia dapat membuka minda orang Melayu khususnya agar merebut peluang perniagaan kerana masa depan kerjaya ini sangat besar. Jika dilihat hampir 70 peratus pelanggan adalah orang Islam yang sememangnya inginkan layanan daripada pendandan Muslim. Namun salun yang menyediakan perkhidmatan ini sangat terhad.

“Jika ada ia tidak 100 peratus dikendalikan mereka yang pakar mengenai rambut. Di sinilah saya melihat pentingnya usahawan Melayu menjalankan bisnes ini. Bagi wanita pula saya sering tekankan pentingnya menjaga rambut sama seperti wajah dan penampilan. Ini kerana kesihatan dan kecantikan rambut tidak boleh dipandang ringan terutama wanita bertudung. Banyak cara bagi menjadikan rambut sentiasa kuat dan sihat iaitu menjaga pemakanan dan mendapatkan rawatan di salun,” katanya.

Kini dengan pengalaman dan ilmu yang dimilikinya Siti Hajar hanya menumpukan perhatian kepada memberikan khidmat nasihat kepada pelanggan terutama mengenai masalah dan rawatan rambut. Bagi memantapkan konsep Muslimah, salunnya hanya membenarkan pelanggan wanita malah rawatan yang ditawarkan juga tidak bercanggah syariat Islam.

“Bukan saja rambut, pelanggan Muslimah juga boleh menikmati rawatan badan seperti urut, lulur dan sauna di spa pada harga berpatutan namun dalam persekitaran mewah. Ini kerana kami menyediakan terapi berpengalaman yang dapat menyelesaikan masalah pelanggan,” katanya yang mengakui cabaran dalam perniagaan adalah berhadapan kerenah pelanggan.

Namun ia bukanlah sesuatu yang sukar kerana sejak awal menjalankan perniagaan Siti Hajar sentiasa peka mengenai perkembangan semasa dan gaya rambut terkini wanita kerana dia kerap menyertai siri seminar yang diadakan di luar negara.

“Walaupun apa yang didedahkan di Barat berbeza dengan apa yang ditampilkan di sini, perkembangan dalam dunia fesyen seharusnya digunakan bagi menampilkan sesuatu yang lebih segar dan bernilai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 1:17 PM