BERSAMA perantis untuk ditauliahkan Sijil Kemahiran Malaysia.
BERSAMA perantis untuk ditauliahkan Sijil Kemahiran Malaysia.
PERTEMUAN dengan dua pakar industri dandanan rambut untuk projek bersama MARA 2018.
PERTEMUAN dengan dua pakar industri dandanan rambut untuk projek bersama MARA 2018.
KETIKA menjadi juri pertandingan andaman Stylelista Festival.
KETIKA menjadi juri pertandingan andaman Stylelista Festival.
DORONGAN suami pencetus semangat teroka bidang dandanan rambut.
DORONGAN suami pencetus semangat teroka bidang dandanan rambut.
Intan Mas Ayu Shahimi


Senyum wanita ini cukup manis. Tutur katanya lembut dan tersusun indah, penuh sopan. Dia berdiri di celah lautan manusia, bukan Melayu. Bagaimapun wanita kecil molek ini begitu menyinar.

Mungkin tidak ramai mengenali siapa Siti Norwanda Mohd Yusoff. Pemilik nama unik ini mula mengukir karier sebagai perunding imej dan pendandan rambut sebelum mendapat pengiktirafan sebagai Pakar Industri Negara dari Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) serta Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia pada 2015.

Ketika menyapa wanita ini buat pertama kali di laman sosial, Wanda begitu bersahaja. Sifat merendah diri yang ada padanya membuatkan Hati terpaut untuk mengenali pengusaha salun SheVoux Professional ini.

Jika diperhatikan, tidak ramai wanita Melayu berani menceburkan diri dalam bidang dandanan rambut. Industri itu seolah-olah dimonopoli kaum Cina yang memang cukup sinonim dengan pelbagai gaya rambut sebagaimana selebriti luar negara.

Namun, Wanda membuktikan sebaliknya. Wanita ini bukan sekadar pendandan rambut biasa, malah kini menjadi perunding dan tenaga pengajar di akademi latihan.

Kata Wanda, dia memilih untuk menjadi pendandan rambut disebabkan minat mendalam terhadap dunia kecantikan sejak di bangku sekolah lagi.

“Sekitar 12 tahun lalu, saya melihat peluang dalam industri rambut sangat besar. Ia belum diterokai dan tidak ramai menunjukkan minat ke arah itu. Bagaimanapun, saya tidak suka bersaing dengan bangsa sendiri. Saya lebih tertarik untuk bersaing cara sihat dengan semua dan mencabar diri melakukan perkara yang jarang dilakukan orang lain.

“Sebab itulah saya pilih salun rambut. Saya memasang tekad untuk menjadi pendandan profesional, mengangkat salun sendiri setanding dengan milik bukan Islam. Jika boleh, saya mahu mencapai taraf antarabangsa.

“Pada masa sama, saya memilih menjadi perunding imej kerana ilmu dalam bab kecantikan memang sudah ada. Dari hujung rambut, sampai hujung kaki, kemahiran mencantikkan orang pun saya ada.

“Semua ini seolah-olah tersimpan dalam diri dan ditumpahkan pada pelanggan yang datang ke salun saja. Jadi, mengapa tidak saya mendapatkan sijil pentauliahan berkaitan? Dengan cara itu, saya lebih yakin untuk kongsi ilmu dengan ramai orang,” katanya.

TUNJUK BAKAT

Menurut Wanda, biarpun minat dalam bidang dandanan dan kecantikan bermula sejak sekolah menengah, dia tidak mendapat restu daripada arwah bapa tercinta.

“Ketika itu, ayah mahu saya jadi ‘seseorang’. Dalam erti kata lain, dia mahu saya jadi jurutera atau pengaturcara komputer. Kebetulan selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mendapat tawaran menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Jadi, saya ikut kata ayah dan belajar sampai tamat.

“Hendak dijadikan cerita, jodoh pula datang selepas habis diploma. Saya berkahwin dan menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda. Tetapi, belum sempat pengajian tamat, anak sudah meningkat dua orang.

“Disebabkan masalah anak yang masih kecil, saya tidak boleh menghabiskan semester akhir. Sekalipun keputusan peperiksaan baik, namun pihak UiTM tidak benarkan saya menyambung cuti. Saya pujuk diri dan percaya, mungkin ada hikmah di situ,” katanya.

Wanda memilih untuk menjaga anak. Baginya, biarlah dia mengorbankan ijazah demi amanah tercinta. Terbukti pilihannya tidak salah. Allah SWT membuka mindanya untuk cuba berniaga.

“Kalau diimbas balik, semua benda saya cuba berniaga. Selagi boleh dapat duit sendiri, saya buat popia mini dan minta suami jual di kantin kilang, jual kuih dan belajar menjahit sambil bawa anak kecil ke kelas. Pendek kata, saya buat macam-macam sebelum bertemu dengan bidang dandanan rambut ini.

“Sampai satu masa, saya ditawarkan bekerja sebagai pengurus cawangan di syarikat korporat dan bertemu dengan seorang pelanggan. Dia beritahu dia sedang ambil kursus rambut. Tiba saja di rumah petang itu, saya terus cakap pada suami.

“Iya, pendorong utama adalah suami tercinta. Sebelum dapat kebenaran untuk masuk kursus gunting rambut yang pertama, suami cuba menguji dan menyuruh saya menggunting rambutnya.

“Tanpa pengalaman memegang gunting rambut, kemahiran yang betul, guru yang mengajar, saya boleh menggunting rambut suami dengan baik, tetapi mengambil masa hampir tiga jam! (ketawa) Dengan contoh rambut suami itulah saya bertemu guru pertama. Dia kagum dan terkejut apabila saya boleh menggunting dengan baik sebelum mengikuti sebarang kelas.

“Malah dia juga terkejut dan tergelak besar apabila saya beritahu, terpaksa mengambil masa tiga jam untuk menggunting satu kepala,” katanya dalam ketawa lagi.

LANGKAH PERTAMA

Hari demi hari, Wanda kian optimis mengejar kembali cita-cita dan impian lamanya. Dia sedar bidang itu sudah lama dimonopoli orang bukan Islam. Lebih dari itu, mereka berjaya menjadikan bidang itu sebagai kerjaya profesional.

“Saya merasakan bidang ini satu fardu kifayah. Sejak kecil, saya memang suka ke salun rambut. Saya juga sangat memilih. Saya akan ke salun yang cantik dan hasil guntingan mengagumkan. Namun, salun sebegitu lazimnya milik bukan Islam. Dek cerewet itulah, saya memasang niat membantu Muslimah seperti saya menjaga aurat, kehormatan diri, sekali gus menikmati keselesaan dan kepuasan.

“Pada luarannya bidang ini nampak senang. Betul, memang mudah jika kita beri tumpuan belajar dan meletak minat 100 peratus. Bagi saya, belajar rambut ini umpama belajar bawa kereta.

“Saya belajar dengan guru pertama saya (Melayu) 26 hari saja. Lepas habis, saya terus buka salun sendiri. Saya perkenalkan konsep salun Muslimah. Memang masa itu langsung tidak mahir lagi.

“Terkial-kial pegang gunting, sikat dan pengering rambut. Namun, di depan pelanggan, saya berlagak yakin. Dalam hati pula menangis, malu, bercampur-baur. Bukan salah guru yang mengajar, tapi salah diri sendiri yang tidak sabar hendak berniaga dan punya salun sendiri.

“Cukup sebulan, saya rayu suami untuk sambung belajar lagi. Kali ini guru saya berbangsa Cina. Saya ambil kursus penuh selama lapan bulan. Kemudian, saya sambung bekerja dengan guru selama setahun sehinggalah ditawarkan peluang usaha sama dengannya selepas dia melihat kemahiran dan komitmen saya semasa bekerja,” katanya.

Jelas Wanda, ketika itu dia masih menjalankan perniagaan salun sendiri yang dibuka seminggu sekali, iaitu pada hari cuti salun gurunya. Selepas mendapat tawaran itulah dia mula yakin untuk meneruskan perniagaan sendiri.

“Kemahiran saya diperakui guru di depan suami sendiri. Perasaan gembira memang sukar hendak dicerita. Kemahiran unik saya yang diiktiraf ketika itu adalah potong rambut dengan pencukur, hingga diberi gelaran Master Razor Hair Cut.

“Dek minat saya sambung belajar di Toni & Guy Academy. Berguru dengan orang Inggeris pula. Begitulah seterusnya hingga kini. Perjalanan menuntut ilmu tidak pernah berhenti. Sampai kini saya masih belajar. Saya bukan saja mengikuti kelas dengan guru profesional, tetapi guru saya adalah pelanggan sendiri,” katanya berbangga.

PELIHARA ISLAM

Ditanya mengenai konsep dipilih untuk salun miliknya, Wanda memberitahu dia mahu mengekalkan niatnya untuk membantu membela kaum Muslimah sejak dulu.

“Niat saya, membantu Muslimah merasai nikmat ke salun tanpa risau mengenai aurat, keselesaan dan kepuasan diri. Paling penting sekali, saya mahu pelanggan saya rasa dan akui salun Muslimah juga berkualiti, profesional, setanding salun bukan Islam.

“Kalau boleh, saya mahu SheVoux Professional menjadi salun rambut Muslimah profesional pertama di dunia yang mengamalkan sistem patuh syariah dan melahirkan seramai mungkin pendandan rambut.

“Saya sentiasa mengkaji dunia rambut. Terdapat banyak perbezaan dalam mencantikkan dan penjagaan rambut dengan cara Islam dan bukan Islam. Banyak hukum yang perlu diikut. Contohnya dalam mewarnakan rambut, terdapat syubhah dalam penggunaan pewarna rambut yang ada di pasaran, tapi tidak salah untuk mewarnakan uban dengan inai.

“Jadi, kami keluarkan produk inai asli segera formulasi sendiri sebagai pewarna uban tanpa mengubah warna rambut hitam. Begitu juga dengan aurat. Aurat orang Islam dan bukan Islam sama seperti aurat kita dengan bukan mahram, walaupun sesama wanita,” katanya.

Kata Wanda, salunnya mendapat pengiktirafan daripada gurunya sendiri. Bermula daripada susahnya mendapatkan pendandan rambut Muslimah yang mahir bekerja di salun, kini dia masih berdepan masalah sama kerana masing-masing mahu membuka salun sendiri.

“Saya mendapat bantuan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Bermula pusat latihan dan syarikat Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), saya kendalikan kursus. Saya kekalkan konsep Muslimah pada akademi supaya apabila pelatih tamat, mereka boleh meneruskan konsep sama,” katanya.

LALUI CABARAN

Tidak kira cabang mana yang diterokai, setiap orang pasti berdepan pelbagai cabaran untuk berjaya. Dia berdepan banyak rintangan dan ujian untuk menaikkan konsep Muslimah.

“Mungkin kerana saya adalah perintis dalam bidang ini, saya perlu didik masyarakat mengenai keperluan salun rambut Muslimah. Sedangkan penerimaan masyarakat terhadap tahap kemahiran menggunting rambut dalam kalangan orang Melayu masih rendah.

“Mereka fikir tidak cantik, tidak profesional, tidak kemas, tidak menjadi. Memang betul kerana ada salun Muslimah dibuka atas sebab permintaan, sedangkan pemiliknya masih belum bersedia, tidak mempersiapkan diri dengan kemahiran sepatutnya.

“Cabaran kedua adalah kesukaran mendapatkan pendandan rambut Muslimah yang mahir dan profesional. Cabaran ketiga sudah ada salun bukan Muslim yang menguar-uarkan penyediaan tempat khas untuk Muslimah.

“Jalan untuk bergelar usahawan memang menuntut pengorbanan besar. Saya terlepas melihat anak-anak membesar walaupun di jaga suami dan dibantu ibu sendiri,” katanya.

Wanda berkata, pengorbanan lain adalah membabitkan wang, masa dan tenaga untuk mendapatkan ilmu menjadi usahawan. Kos bagi kursus rambut profesional daripada akademi profesional dan antarabangsa sangat tinggi.

Jika dikira, keseluruhan jumlah yuran yang dibelanjakan mencecah puluhan ribu. Untuk itu semua simpanan yang ada dikeluarkan kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada suami.

“Saya berulang-alik menaiki bas dari rumah ke akademi selama dua tahun. Jika kelas jauh di Kuala Lumpur pun, saya tetap pergi.

“Tidak kira sesukar mana, pengorbanan saya berbaloi. Kemahiran yang saya ada kini, tidak boleh dibeli dan ia sangat istimewa. Memang pada mulanya saya mendapat tentangan hebat daripada ibu sendiri. Tapi syukur, ibu terima selepas dia nampak perjalanan perniagaan saya.

“Paling menggembirakan apabila pelatih dan pekerja saya berjaya menjadi pendandan rambut profesional dan membuka salun rambut sendiri. Ada juga yang diterima bekerja di salun profesional milik bukan Islam.

“Bagi saya, kerjaya ini memberi banyak kepuasan pada diri yang sukar digambarkan. Bagaimanapun, perjalanan saya masih jauh. Saya perlu lahirkan lebih ramai pendandan rambut profesional yang boleh membawa imej salun rambut Muslimah profesional ke mata dunia. Kepuasan sebenar datang apabila kami dapat memberi nilai sebenar nikmat memanjakan diri di salun patuh syariah,” katanya.

PAKAR INDUSTRI NEGARA

Kini, selepas melangkaui banyak ujian dan cabaran, Wanda mampu tersenyum bangga. Dia berjaya menjadikan industri dandanan sebagai medan dakwah dan membuka mata ramai bahawa orang Melayu mampu bersaing dalam bidang rambut hingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya pernah masuk pertandingan International Hair Award. Hanya saya peserta Melayu dan perempuan. Genap 10 tahun pengalaman saya dalam bidang ini, pada 2015, saya dilantik sebagai Pakar Industri Negara dalam bidang dandanan rambut.

“Pada masa itu hanya ada seorang Pakar Industri Dandanan Rambut berbangsa Melayu dan dia seorang lelaki. Saya pula pakar industri dandanan rambut Melayu yang kedua, dan yang pertama bagi pendandan rambut Muslimah.

“Saya percaya potensi salun Muslimah ini sangat besar dan banyak fasa yang perlu dilalui. Saya yakin, salun Muslimah patuh syariah mampu membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 1:48 PM