SITI RAHAH menunjukkan potongan rambut terkini kepada pekerjanya.
SITI RAHAH menunjukkan potongan rambut terkini kepada pekerjanya.
BERSAMA kakitangan salun yang komited memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan.
BERSAMA kakitangan salun yang komited memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Melewati pekara­ngan kawasan Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, kelihatan papan tanda besar tertulis Jazeerat El-Rahah, salun rambut Muslimah yang kelihatan agak eksklusif. Tidak ramai usahawan Melayu yang berani membuka salun rambut kerana bidang ini dipelopori bukan Muslim.

Menariknya, pemilik salun rambut ini juga bukanlah berpengalaman dalam bidang perniagaan, namun disebabkan cita-cita yang kuat dan matlamat yang jelas, akhirnya Siti Rahah Mod Nordin mampu merealisasikan impian membuka salun Muslimah.

Ketika ditemui di salun rambut miliknya, Siti Rahah menjelaskan, perancangan membuka perniagaan bermula ketika mengikut suami yang menyambung pengajian di Jepun selama tiga tahun.

Ketika itu dia menyuarakan hasrat kepada suami untuk membuka perniagaan sekembalinya ke Malaysia nanti. Di sebalik kelembutan sebagai wanita, dia mempunyai jiwa yang sukakan cabaran, tidak mahu dikongkong dan bebas mengeluarkan idea.

Daripada pemerhatian ketika belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, ramai wanita ingin membuat rawatan rambut tetapi tiada salun Muslimah disediakan.

“Ketika itu saya sendiri mempunyai masalah untuk membuat rawatan kerana ketika berkunjung ke salun milik bukan Islam, saya rasa kurang selesa apabila ada pekerja lelaki yang berada di situ. Ini menyebabkan saya rasa tidak bebas dan takut.

“Lalu saya menyatakan kepada suami untuk membuka salun Muslimah bagi membantu pelanggan mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu bimbang mengenai aurat serta produk digunakan,” katanya.

Langkah pertama adalah meminta kebenaran suami pulang ke Malaysia untuk mengambil kursus dandanan rambut jangka pendek di Akademi Kimarie. Sebagai satu-satunya wanita Melayu yang mengambil kursus di situ, Siti Rahah menjadi perhatian.

Oleh kerana perlu menemani suami semula di negara matahari terbit itu, Siti Rahah tidak melepaskan peluang yang ada untuk mengkaji konsep salun rambut di Jepun dan mengaplikasikannya sekembalinya ke Malaysia kelak.

“Dari satu salun ke satu salun saya membuat rawatan di sana. Apa yang dapat saya katakan, mereka sangat mementingkan kualiti produk serta perkhidmatan diberikan. Pekerja pula sangat berwawasan dan mengutamakan pelanggan melebihi diri mereka sendiri.

“Salun sangat mesra pengguna dan mengutamakan dekorasi secara segar dan sedap mata memandang. Saya sendiri terpengaruh dengan gaya reka bentuk dalaman dan berhasrat ingin menjadikannya sebagai rujukan,” katanya.

Salun pertama di Johor

Sekembalinya ke Malaysia, oleh kerana mengikut suami bekerja di Skudai, Johor, Siti Rahah mengambil keputusan membuka salun pertama di sana. Mendapat sambutan menggalakkan daripada wanita menyebabkan dia membuka cawangan kedua di Bandar Baru Uda, Johor.

Bagaimanapun, perpindahan suami ke Bangi menyebabkan wanita ini mengambil keputusan menutup salun di Bandar Baru Uda dan membuka salun di Bangi.

Berada di penempatan Melayu, Siti Rahah ingin menerapkan 100 peratus konsep salun seperti di Jepun iaitu dengan mengambil tema hitam dan putih sebagai latar dan konsep salun. Namun ini bukan bermakna dia hanya memberi tumpuan kepada dekorasi dan persekitaran salun. Apa yang paling penting dan amat ditekankan adalah cara bekerja, kualiti perkhidmatan yang tidak hanya menjurus kepada penggayaan rambut ketika di salun, namun tetap sama ketika di rumah.

Selain itu, Siti Rahah juga sangat teliti dalam memilih pekerja kerana ingin memastikan mereka benar-benar berkualiti dan mahir dalam lapangan yang dilakukan. Paling penting mereka bijak melayan pelanggan.

“Oleh kerana mempunyai 100 peratus pelanggan Muslimah, jadi saya mengambil pekerja Muslimah bagi memastikan keselesaan pelanggan. Ruang solat turut disediakan dan sebelum rawatan, kebiasaannya pelanggan dibenarkan bersolat terlebih dulu dan kemudian menyambung semula rawatan. Mereka tidak janggal atau takut kerana bebas berada di salun,” katanya.

Selain itu, dengan me­ngikuti pelbagai kursus dandanan, Siti Rahah bijak dalam menyediakan perkhidmatan terkini mengikut peredaran semasa. Dia juga menetap­kan rawatan yang perlu dilakukan bergantung kepada masalah yang mereka hadapi.

Dalam hal ini, Jazeerat El-Rahah bukan semata-mata ingin mengambil wang pelanggan, sebaliknya memberikan rundingan agar masalah mereka dapat diselesaikan tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi.

Walaupun tidak begitu agresif dalam promosi dan pemasaran, salun rambut Muslimah El-Rahah sering menjadi sebutan terutama di laman media sosial. Ini menyebabkan ia semakin dikenali ramai sehinggakan ada pelanggan yang meminta membuka cawangan di Shah Alam.

“Bagi saya dengan memperkukuhkan perkhidmatan dan kualiti, ia satu cara pemasaran paling berkesan. Ini kerana kualiti dalam perkhidmatan akan disampaikan daripada mulut ke mulut dan kesannya lebih besar,” katanya yang mempu­nyai ijazah sarjana muda dalam bidang sains komputer.

Anak bongsu daripada lima beradik ini sangat optimis dalam perniagaan yang dimajukan kerana mempunyai peluang yang sangat besar. Bagi Siti Rahah, peluang menjana pendapatan dalam bidang dandanan sangat besar kerana kurang dimonopoli kaum Melayu berbanding perniagaan makanan dan pakaian Muslimah.

Walaupun persaingan juga sengit, kemahiran ditawarkan berbeza antara satu sama lain. Pada akhirnya salun yang dapat menyediakan perkhidmatan berkualiti serta bijak mengambil hati pelanggan itulah yang akan berjaya.

Buka akademi

Bagi melatih lebih ramai pendandan Melayu menceburi perniagaan ini, Siti Rahah kini memberikan latihan kepada anak muda yang mempunyai minat untuk berjaya. Kursus yang diadakan di akademi bersebelahan salun menyediakan peluang pembelajaran secara eksklusif untuk mendapat­kan panduan memulakan kerjaya sebagai pendandan rambut.

Selain Siti Rahah sebagai tenaga pengajar, akademi ini juga menyediakan pendandan terkenal dan berpengalaman di Malaysia untuk berkongsi ilmu.

Pada masa sama, dia berharap dapat menambah cawangan di Shah Alam sedikit masa lagi sambil berazam menjadikan Jazeerat El-Rahah sebagai pilihan nombor satu salun di negara Islam. Dia juga mempunyai cita-cita untuk membuka salun di pusat beli-belah sebagai penanda aras kepada kejayaannya selama ini.

Apa yang perlu dilakukan adalah menyediakan ruang dan memastikan semuanya sempurna terutama dari segi pekerja dan kualiti perkhidmatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 4:00 AM