PENGAMBILAN vaksin pneumokokkal sebagai langkah pencegahan.
PENGAMBILAN vaksin pneumokokkal sebagai langkah pencegahan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit radang paru-paru (pneumonia) membunuh lebih ramai kanak-kanak daripada penyakit lain, lebih tinggi berbanding AIDS, malaria dan demam campak (measles).

Mengikut perangkaan, lebih dua juta kanak-kanak meninggal dunia akibat pneumonia setiap tahun, menyumbang kepada hampir satu dalam lima kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun, di seluruh dunia.

Bermula dengan demam biasa atau batuk serta bersin ringan, jangkitan yang mampu membawa maut ini menyerang kanak-kanak bawah umur lima tahun dan bayi kerana sistem imunisasi golongan ini yang belum cukup kuat.

Perunding Pediatrik, Hospital Pakar DEMC Shah Alam Dr Fadzillah Ghazalli berkata, ramai ibu bapa menyangka ia penyakit biasa seperti selesema dan boleh dirawat dengan ubat batuk serta paracetamol yang dibeli di farmasi hinggalah keadaan bertambah buruk. Ketika itu, baru mereka mendapatkan rawatan daripada doktor.

Katanya, kanak-kanak menghidap pneumonia selalunya dikesan pada peringkat yang sudah parah. Gejala dan tanda pneumonia berbeza dan ini banyak dipengaruhi oleh kuman yang menjangkiti.

DEMAM tinggi, sukar bernafas dan tidak aktif antara simptom pneumonia.
DEMAM tinggi, sukar bernafas dan tidak aktif antara simptom pneumonia.

“Pneumonia sering bermula dengan demam, batuk dan selesema yang dianggap ‘biasa’ sama ada oleh ibu bapa, penjaga dan juga doktor yang tidak menganggapnya sebagai suatu simptom serius.

“Tanda yang mungkin nampak serius dan menjadi amaran kepada ibu bapa, penjaga dan juga doktor bahawa ia adalah pneumonia, apabila demam tinggi, batuk berkahak dan sukar bernafas.

“Apabila dijangkiti, tidur mereka biasanya terganggu dan tanda bertambah teruk apabila mereka langsung tidak aktif dan bermaya malah hilang selera makan,” katanya.

Pada 2008, dianggarkan seramai 8.8 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun di seluruh dunia, meninggal dunia. Seorang daripada lima kematian itu disebabkan oleh pneumonia atau dengan kata lain, seramai 1.5 juta kanak-kanak meninggal dunia akibat pneumonia. Kematian lain berpunca daripada malaria, TB, HIV/AIDS.

Di Malaysia, pneumonia dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun adalah penyebab kelima kematian dengan empat peratus kematian selain antara 28 peratus dan 40 peratus kemasukan ke hospital.

Pneumonia boleh diselamatkan menerusi pengambilan vaksin dan ia bukan sesuatu yang mustahil dijadikan ‘wajib’ dalam imunisasi kebangsaan seperti vaksin kanser servik (HPV) yang diwajibkan untuk remaja perempuan.

KANAK-kanak asma antara kumpulan berisiko tinggi jangkitan paru-paru.
KANAK-kanak asma antara kumpulan berisiko tinggi jangkitan paru-paru.

Dr Fadzillah berkata, walaupun terdapat pelbagai kuman yang menyebabkan pneumonia menunjukkan simptom yang sama, kuman streptococcal peneumoniae paling bahaya, namun ia boleh dicegah menerusi pemberian vaksin pneumokokkal.

“Vaksin pneumokokkal ada di Malaysia sejak 2005, tetapi ia masih lagi belum dijadualkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) Kementerian Kesihatan.

“Pada masa ini, vaksin itu hanya boleh didapati di hospital swasta atau klinik pakar kanak-kanak swasta. Bagaimanapun, kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan mencegah pneumonia kini semakin meningkat dan kebanyakan daripadanya memilih untuk mengambil suntikan vaksin untuk anak mereka,” katanya.

Lebih 55 negara sudah pun memasukkan jadual vaksin itu ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan, termasuk Singapura, Macau, Hong Kong, Australia dan New Zealand.

Menurutnya, kepentingan imunisasi vaksin ini juga dapat membantu imuniti kelompok yang menyediakan pertahanan sekumpulan individu daripada diserang penyakit, yang mana tujuh daripada 10 kanak-kanak yang mengambil vaksin boleh membantu tiga individu yang tidak mengambilnya.

RAWATAN segera diperlukan jika terdapat simptom.
RAWATAN segera diperlukan jika terdapat simptom.

Katanya, pengambilan vaksin pneumokokkal boleh diambil oleh bayi seawal usia dua bulan dan pengambilannya adalah selang masa 10 tahun.

“Untuk pesakit yang sudah sembuh dari penyakit ini juga boleh mengambil suntikan vaksin. Mereka yang sudah mendapat vaksin ini jika terkena jangkitan sama pada masa akan datang biasanya hanya jangkitan ringan kerana tubuh mereka sudah ada ‘kubu’ pertahanan daripada kuman berkenaan.

“Bagi mereka yang sudah dijangkiti pneumonia, ada kemungkinan mereka juga boleh mendapat jangkitan berulang sekiranya tidak mengambil langkah pencegahan.

“Kanak-kanak yang berisiko tinggi seperti sejarah asma dalam keluarga dan kelahiran pramatang, selain pendedahan di tempat sesak dan ramai orang, tempat berhabuk dan asap rokok turut meningkatkan risiko jangkitan,” katanya.

Kumpulan berisiko

• Di negara membangun, kanak-kanak di bawah usia lima tahun, terutama bawah dua tahun dan miskin, berisiko menghidap penyakit ini.

• Warga tua juga turut berisiko.

• Sesetengah kanak-kanak dan orang dewasa berisiko tinggi kerana mereka menghidapi penyakit lain seperti HIV/AIDS.

• Pesakit HIV lebih berisiko tinggi dan berkemungkinan mati akibat pneumonia.

• Kanak-kanak yang tidak mendapat cukup zat boleh melemahkan sistem imunisasi, sekali gus meletakkan mereka sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti pneumonia.

Penyebab

• Kebanyakan organisma boleh menyebabkan pneumonia.

• Di peringkat global, bakteria seperti Hib dan pneumokokkus adalah dianggarkan untuk menyebabkan lebih daripada 50 peratus kematian akibat radang paru-paru di kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Virus dan kulat juga boleh menyebabkan pneumonia.

Diagnosis

• Ia boleh dikesan oleh tanda seperti demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas atau bernafas cepat atau berombak-ombak.

• Menerusi imbasan dada menggunakan sinar-X dan ujian makmal. Namun, alat ini selalunya tidak ada di negara membangun, terutamanya di luar bandar yang terpencil menjadikan sukar mengenal pasti dan merawat penyakit ini.

Pencegahan dan rawatan

• Ia boleh dicegah dengan vaksin Hib dan pneumokokus.

• Jangkitan campak dan pertusis (batuk kokol) juga boleh menyebabkan komplikasi pneumonia. Oleh itu, vaksin untuk penyakit ini boleh mencegah sesetengah kes pneumonia.

• Tingkatkan kadar susuan eksklusif selama enam bulan.

• Kurangkan asap daripada rokok dan tempat memasak.

• Tingkatkan tahap nutrisi anak.

• Sentiasa basuh tangan dan ajar anak berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 12:06 PM