JAGA kesihatan ketika cuaca sejuk dan suhu rendah kini.
JAGA kesihatan ketika cuaca sejuk dan suhu rendah kini.
Siti Nadirah Hafidzin

Klinik dan hospital mula dipenuhi pesakit saban waktu, bayi, kanak-kanak juga warga emas bersilih ganti mendapatkan rawatan. Dalam masa sama doktor dan petugas kesihatan juga dilihat semakin sibuk mengendalikan pelbagai kes yang mana rata-ratanya berpunca daripada faktor cuaca kini.

Suhu rendah dan cuaca sejuk yang melanda negara kebelakangan ini boleh memberi pelbagai kesan terhadap kesihatan individu.

Cuaca sejuk boleh menyebabkan suhu badan menjadi rendah selain mengundang penyakit lazim seperti demam, selesema, batuk dan hipotermia.

Mungkin ada yang sudah cuba menjaga kesihatan sebaik mungkin dengan tidak terdedah dengan keadaan cuaca di luar rumah, namun tetap diserang demam atau simptom kurang sihat yang lain.

Selain orang dewasa, kanak-kanak dan warga emas antara golongan paling berisiko dijangkiti pelbagai penyakit dek faktor cuaca tidak menentu kini.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad berkata, cuaca sejuk boleh memberi kesan lebih besar bagi golongan tertentu, khususnya kepada individu yang mempunyai sejarah penyakit berkaitan pernafasan.

“Individu yang mempunyai sejarah penyakit lelah atau asma, perlu lebih berhati-hati memandangkan serangan boleh berlaku, terutama pada waktu malam dan awal pagi ketika suhu lebih rendah.

“Perubahan suhu persekitaran yang drastik boleh membawa kesan membimbangkan terhadap kawalan suhu badan bayi dan kanak-kanak, warga emas serta mereka yang mempunyai sejarah penyakit pernafasan“, katanya.

Menurutnya, walaupun keadaan suhu dan cuaca dilihat semakin meningkat minggu ini, namun penjagaan kesihatan secara rapi masih perlu diteruskan bagi mengelak risiko jangkitan penyakit berlaku.

JAGA KESIHATAN SEBAIK MUNGKIN

Bagi mengelak risiko masalah kesihatan, Dr Zubaidi berkata, beberapa langkah drastik perlu diambil sebagai persediaan bagi menjaga kesihatan

diri serta individu sekeliling.

“Kurangkan aktiviti luar rumah dan lawatan ke kawasan dingin, selain memakai pakaian tebal untuk memastikan badan kekal panas.

“Bayi dan kanak-kanak juga warga emas dinasihatkan supaya sentiasa memakai pakaian bersesuaian dalam keadaan cuaca kini terutama pada waktu malam.

“Walaupun dalam cuaca sebegini, pengambilan air 2.5 liter sehari amat penting tanpa mengira cuaca dan masa, namun untuk cuaca sejuk, eloklah mengambil air panas atau suam bagi mengekalkan suhu badan,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, bagi mengekalkan kesihatan dalam keadaan suhu rendah ini, setiap individu dinasihati supaya melakukan senaman walaupun sekadar senaman ringan.

“Ia amat penting bagi memastikan aliran darah berjalan lancar sekali gus mengekalkan tahap kesihatan terbaik. Jangan sesekali ambil mudah sekiranya badan sudah menunjukkan tanda tidak sihat. Segera bertemu dengan doktor terutama kepada individu yang mula sesak nafas,” ujarnya.

DR Zubaidi juga berkongsi antara langkah lain yang boleh dilakukan dalam keadaan cuaca tidak menentu dan suhu rendah kini:

- Pastikan stok ubat-ubatan sentiasa mencukupi.

- Berwaspada dengan tanda awal serangan seperti sesak nafas dan batuk. Segera bertemu dengan doktor di klinik atau hospital berhampiran.

- Ambil lebih banyak masa untuk memanaskan badan sebelum bersenam. Ini membantu mengekalkan saiz saluran udara yang normal.

- Beri perhatian kepada suhu dan cuaca persekitaran anda. Elakkan terdedah kepada hujan terutama hujan renyai-renyai kerana ia lebih mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

- Kekalkan penghidratan secukupnya. Ini mengurangkan pengumpulan mukus di dalam saluran pernafasan sekali gus mengurangkan risiko serangan asma atau jangkitan masa depan seperti bronkitis atau pneumonia.

- Memaksimumkan pertukaran udara ketika pernafasan. Tarik nafas dalam-dalam melalui hidung dan menghembuskan nafas anda melalui mulut. Dengan setiap sedutan, anda perlu melihat atau merasai pengembangan perut anda.

- Rehat apabila perlu dan prihatin dengan keadaan badan dan kesihatan anda dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 10:43 AM