Siti Nadirah Hafidzin

Cuaca panas terik ketika pagi sebelum tiba-tiba hujan lebat sebelah petang mendatangkan pelbagai risiko penyakit kepada setiap individu.

Sementara klinik dan hospital mula dipenuhi pesakit saban waktu, bayi, kanak-kanak juga warga emas bersilih ganti mendapatkan rawatan. Dalam masa sama doktor dan petugas kesihatan juga semakin sibuk mengendalikan pelbagai kes yang rata-ratanya berpunca daripada faktor cuaca tidak menentu kini.

Cuaca tidak menentu kini boleh memberi risiko pada suhu badan selain mengundang penyakit lazim seperti demam, selesema, batuk dan hipotermia.

Mungkin ada yang sudah cuba menjaga kesihatan sebaik mungkin dengan tidak terdedah dengan keadaan cuaca di luar rumah, namun tetap diserang demam atau simptom kurang sihat yang lain.

Selain golongan dewasa, kanak-kanak dan warga emas antara yang paling berisiko dijangkiti pelbagai penyakit dek faktor cuaca tidak menentu kini.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad berkata, cuaca tidak menentu kini boleh memberi kesan lebih besar bagi golongan tertentu, khususnya individu yang mempunyai sejarah penyakit berkaitan pernafasan.

“Individu yang mempunyai sejarah penyakit lelah atau asma, perlu lebih berhati-hati memandangkan serangan boleh berlaku, terutama pada petang atau malam ketika suhu lebih rendah.

“Perubahan suhu persekitaran yang drastik boleh membawa kesan membimbangkan terhadap kawalan suhu badan bayi dan kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai sejarah penyakit,” katanya.

Menurutnya, penjagaan kesihatan secara rapi sangat diperlukan dan diteruskan bagi mengelak risiko jangkitan penyakit berlaku.

Jaga kesihatan sebaik mungkin

Bagi mengelak risiko masalah kesihatan, Dr Zubaidi berkata, beberapa langkah drastik perlu diambil sebagai persediaan bagi menjaga kesihatan diri dan individu sekeliling.

“Kurangkan aktiviti luar rumah terutama ketika hujan dan suhu yang sejuk, selain memakai pakaian bersesuaian. Memang agak sukar untuk memilih pakaian kerana ketika pagi cuaca kebiasaannya panas dan berubah pada sebelah petang.

“Bayi dan kanak-kanak juga warga emas dinasihatkan supaya sentiasa memakai pakaian bersesuaian dalam keadaan cuaca kini terutama malam.

“Pengambilan air 2.5 liter sehari sangat penting tanpa mengira cuaca dan masa, namun dinasihatkan supaya mengambil air panas atau suam bagi mengekalkan suhu badan,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, bagi mengekalkan kesihatan ketika keadaan cuaca tidak menentu, setiap individu dinasihati supaya melakukan senaman walaupun sekadar senaman ringan.

“Ia sangat penting bagi memastikan aliran darah berjalan lancar, sekali gus mengekalkan tahap kesihatan terbaik. Jangan sesekali ambil mudah sekiranya badan sudah menunjukkan tanda tidak sihat.

“Langkah terbaik segera bertemu doktor terutama kepada individu yang mula mengalami simptom bahaya lain seperti menggigil atau sesak nafas,” katanya.

DR Zubaidi
DR Zubaidi

DR Zubaidi juga berkongsi antara langkah lain yang boleh dilakukan dalam keadaan cuaca tidak menentu kini:

• Berwaspada dengan tanda awal serangan seperti sesak nafas dan batuk. Segera bertemu doktor di klinik atau hospital berhampiran.

• Ambil lebih banyak masa untuk memanaskan badan sebelum bersenam. Ini membantu mengekalkan saiz saluran udara yang normal.

• Beri perhatian kepada suhu dan cuaca persekitaran anda. Elak terdedah hujan terutama hujan renyai-renyai kerana ia lebih mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

• Kekalkan penghidratan secukupnya. Ini mengurangkan pengumpulan mukus di dalam saluran pernafasan, sekali gus mengurangkan risiko serangan asma atau jangkitan masa depan seperti bronkitis atau pneumonia.

• Memaksimumkan pertukaran udara ketika pernafasan. Tarik nafas dalam-dalam melalui hidung dan menghembuskan nafas anda melalui mulut. Dengan setiap sedutan, anda perlu melihat atau merasai pengembangan perut anda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 11:47 AM