AIS baik untuk mengecutkan jerawat.
AIS baik untuk mengecutkan jerawat.
Siti Nadirah Hafidzin

Wah, gebunya kulit wajah dia. Inilah ayat yang sering terlintas dalam hati setiap kali memandang wajah orang yang bersih daripada sebarang cela. Bukan wajah wanita saja, kerana kini semakin ramai lelaki yang mempunyai kulit muka yang mulus.

Hakikatnya untuk memiliki kulit wajah cantik bersih bukanlah sesuatu perkara yang boleh dilakukan dengan sambil lewa. Disiplin diri dalam mencuci wajah menggunakan pencuci muka amat diperlukan bagi mendapatkan hasil diinginkan.

Di sini, ada 10 langkah mudah yang boleh dilakukan setiap wanita bermula seawal usia remaja bagi mendapatkan kulit wajah yang sihat dan cantik:

1. Pilih pencuci wajah yang sesuai

Pertama sekali, sebelum mencuci muka, haruslah memilih pencuci muka yang sesuai dengan jenis kulit. Contohnya, jika jenis berminyak, pilih pencuci muka yang mempunyai elemen tanah liat untuk menyerap minyak. Jika kulit kering, elakkan minyak mineral dan alkohol untuk mengelakkan iritasi.

2. Skrub wajah dua kali seminggu

Sel dalam badan sentiasa diperbaharui dan sel mati akan terkumpul pada permukaan kulit. Jadi, penting bagi kita menggunakan skrub muka untuk menghilangkan sel mati pada kulit wajah. Untuk muka dengan iritasi, pilihlah skrub muka yang kurang kasar bagi mengelakkan luka pada kulit muka yang lebih teruk.

3. Cuci dengan air suam

Membasuh muka dengan air suam lebih menyegarkan dan dapat menyingkirkan segala kotoran. Namun, elakkan daripada menggunakan air dengan suhu ekstrem, terlalu sejuk atau panas kerana ia menyebabkan saluran kapilari darah (salur darah yang paling halus) pecah dan memberi kesan kulit kemerahan di sekeliling hidung dan pipi.

4. Tanggalkan mekap sebelum mencuci wajah

Ramai yang menganggap mencuci muka cukup untuk menghilangkan mekap, namun ternyata ia salah. Mekap memerlukan bahan khas untuk ditanggalkan dan kita boleh menggunakan cecair penanggal mekap yang lembut. Lembapkan kapas dengan cecair ini dan tanggalkan mekap anda dengan urutan yang lembut. Selepas itu, barulah boleh gunakan pencuci muka.

5. Cuci tangan dengan sabun

Wajah sepatutnya menjadi bahagian yang paling jarang disentuh dengan tangan kerana tanpa disedari tangan adalah anggota yang banyak bakteria. Ini kerana tangan kita menyentuh pelbagai permukaan dan tidak ramai yang mengamalkan untuk mencuci tangan sekerap mungkin. Jadi setiap kali anda mahu menyentuh muka, cucilah tangan dengan bersih sama ada menggunakan sabun mandi atau cecair pencuci tangan biasa mahupun yang mengandungi ciri antibakteria.

Walaupun ada pihak menyarankan kita menggunakan sabun antibakteria, tetapi kajian menunjukkan mencuci tangan dengan sabun mandi biasa juga sudah memadai. Apa yang penting, kurangkan menyentuh muka dengan tangan terutama bagi individu yang ada masalah jerawat kerana perpindahan bakteria dari tangan ke muka boleh memburukkan lagi keadaan.

6. Memfokuskan pada zon T wajah

Zon T merangkumi bahagian dahi, pipi dan dagu. Zon T adalah kawasan paling berminyak dan berpotensi besar untuk pertumbuhan jerawat . Jadi, lebihkan perhatian pada Zon T semasa mencuci muka supaya dapat menghilangkan sisa minyak berlebihan. Disarankan supaya mencuci muka sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam.

7. Buat urutan wajah

Ramai yang tidak tahu, sebenarnya jika kita mengurut muka dengan betul ia membantu meningkatkan pengaliran darah dan oksigen di kulit wajah. Urut muka secara membulat daripada bahagian bawah ke atas. Boleh juga mulakan daripada leher. Dengan cara ini, aliran darah pada muka lebih lancar dan dapat melambatkan proses kedutan.

8. Jangan lap dengan tuala

Selepas mencuci muka, biarkan wajah kering dengan sendiri. Elakkan daripada terus mengeringkan muka kerana kain yang digunakan akan menyerap lembapan dan khasiat daripada pencuci muka menyebabkan kulit wajah tidak sempat menyerap semua kebaikan yang ada dalam pencuci muka.

9. Gunakan topeng wajah

Selepas mencuci muka, gunakan topeng kecantikan untuk muka bagi memberi lebih kebaikan kepada kulit muka. Sebaiknya, topeng muka itu mempunyai bahan yang baik untuk mengekalkan keremajaan kulit wajah seperti kolagen, vitamin C dan E.

10. Kecutkan jerawat dengan ais

Sebagai tambahan, penggunaan ais amat digalakkan untuk mengecutkan jerawat. Apabila ais diletakkan pada jerawat, pembuluh darah di bawah permukaan kulit muka akan mengecut sekali gus mengurangkan tanda kemerahan dan mengurangkan iritasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 12:53 PM