BUKU yang diterbitkan untuk berkongsi maklumat mengenai tangisan bayi dan teknik mententeramkan si kecil.
BUKU yang diterbitkan untuk berkongsi maklumat mengenai tangisan bayi dan teknik mententeramkan si kecil.
Hajahfarhana Tarmudi


Bayi meragam dengan tangisan berpanjangan ada kalanya membuatkan ibu bapa berasa bimbang dan tertekan. Tanpa teknik yang betul dan tidak mengenal pasti punca sebenar si kecil menangis akan menyebabkan situasi berkenaan dirasakan agak sukar diatasi dengan baik.

Bagi berkongsi mengenai ilmu berkenaan bersama ibu bapa lain, konsultan tangisan bayi, Uswatun Hasanah Mohd Habib sanggup berhenti kerja sebagai eksekutif jualan di syarikat pembekal barang makmal dan bahan kimia.

Ibu berusia 34 tahun yang memiliki dua anak berumur tujuh dan lima tahun ini mengakui ketika zaman remajanya dia kurang suka melayani kanak-kanak.

“Perkara paling ditakuti selepas berkahwin adalah tidak tahu cara yang betul untuk menguruskan bayi terutama ketika menangis.

“Ketika mengandungkan anak sulung, saya menonton rancangan televisyen luar negara yang menayangkan teknik menguruskan bayi melalui tangisan mereka.

“Barulah saya tahu rupanya kita boleh mengenali rutin tangisan bayi dan mengapa si kecil menangis,” katanya.

Ujarnya, selepas tahu mengenai hasil perkongsian daripada Dunsten Baby Languange yang beroperasi di Sydney, dia membeli cakera video digital (DVD) secara dalam talian untuk belajar lebih lanjut.

Menariknya, melalui teknik yang diajar dan cuba dilakukan ke atas bayinya bersama suami, ia menunjukkan hasil yang menggembirakan.

Perasaan takut melihat anak menangis mula berubah kepada rasa teruja untuk mendengar tangisan bayi kerana mahu mencuba teknik yang dipelajari.

Bagi berkongsi rasa teruja itu, dia meminjamkan DVD berkenaan kepada rakannya yang mengalami masalah sama.

“Kemudian timbul minat untuk menjadi ejen mereka, namun pada masa sama saya juga perlu menjadi tenaga pengajar bertauliah. Ketika cuti berpantang anak sulung, saya tekad ambil peperiksaan untuk melayakkan diri menjadi tenaga pengajar bertauliah dan ejen mereka.

“Saya sangat bersyukur kerana lulus dalam peperiksaan berkenaan dan menjadi orang pertama di negara ini yang lulus ujian pentauliahan mengenai lima rutin tangisan bayi untuk melayakkan diri menjadi tenaga pengajar Dunsten pada 2010,” katanya.

Selepas itu, dia aktif mengadakan, kelas dan promosi mengenai rutin tangisan bayi yang boleh dikenal pasti serta dikendalikan dengan baik.

Namun dia mendapati bayi bukan saja menangis disebabkan lapar atau rasa tidak selesa saja, malah ada sebab lain yang menyebabkan si kecil meragam atau menangis berpanjangan.

Oleh itu, dia berasa tidak lengkap jika tidak mempelajari teknik lain yang berkaitan dan berkesan bagi membantu ibu bapa mententeramkan bayi.

Pada 2014, dia mengambil ujian kedua dengan The Happiest Baby Association yang berpusat di Amerika Syarikat mengenai teknik mententeramkan bayi dan membantu si kecil tidur lena.

Selepas itu, dia aktif mengadakan kelas keibubapaan di samping mahu mempraktikkan teknik yang dipelajari agar dapat dikuasai dengan baik.

Uji ilmu dipelajari

Pengikutnya mula bertambah selepas dia memuat naik video teknik mententeramkan bayi yang meragam dan menangis. Tanpa disangka video berkenaan dikongsi sehingga 6,000 kali dan ditonton lebih 100,000 penonton.

Pengalaman demi pengalaman dikutip dan setiap bidang pasti ada cabarannya yang tersendiri, begitu juga dengan dirinya.

“Saya pernah gagal mententeramkan seorang bayi peserta dalam dua kelas pertama yang diadakan disebabkan kurang latihan dan rasa gementar.

“Kegagalan itu membuatkan saya putus asa dan pernah duduk saja di rumah hampir lima bulan, serik untuk mengadakan kelas seperti itu lagi.

“Namun, atas kata-kata semangat rakan dalam bidang keibubapaan, ada kekuatan yang hadir dalam diri untuk memperbaiki kelemahan dan cuba bangkit.

“Sejak itu, saya tidak pernah merasa jemu untuk berlatih hingga berjaya menguasai teknik berkenaan,” katanya.

Selain mengadakan kelas setiap bulan, dia juga menawarkan sesi rundingan di rumah atau secara dalam talian sekiranya mendapat permintaan terutama dalam kalangan ibu yang masih berpantang atau jauh.

Bukan itu saja, malah dia juga menerbitkan sendiri buku untuk individu yang berminat. Dia tidak menyangka dalam tempoh dua bulan pertama ia terjual sehingga 200 unit.

Kemudian, ia diterbitkan semula secara rasmi pada 2016 dengan hasil yang lebih sempurna oleh Dubook Press Sdn Bhd dan menjadi buku laris terjual sepanjang masa.

Baginya, ilmu mengenai rutin tangisan bayi dan teknik mententeramkan si kecil sangat penting bagi mengelakkan kes penderaan dan mendatangkan masalah kepada ibu bapa seperti murung, tertekan atau kurang tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 2:37 PM