CARA mendukung dan menggunakan kereta sorong juga boleh mewujudkan sensasi hayunan kepada bayi.
CARA mendukung dan menggunakan kereta sorong juga boleh mewujudkan sensasi hayunan kepada bayi.
ANTARA reka bentuk buai yang selamat untuk bayi.
ANTARA reka bentuk buai yang selamat untuk bayi.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Ramai ibu bapa bimbang mengenai penggunaan buaian pada bayi mereka. Namun, pada masa sama tidak dapat mengelak penggunaan buaian bagi membantu bayi tidur dengan lebih lena.

Menurut perunding tangisan bayi, Uswatun Hasanah Mohd Habib, bayi memerlukan sensasi hayunan atau buaian, sama seperti si kecil masih berada di dalam kandungan ibu hinggalah selepas dilahirkan.

“Ini bermaksud bentuk gerakan dan tidak semestinya gerakan itu dicetuskan oleh suatu alat seperti buaian bayi. Ia konsep penting yang perlu difahami oleh semua ibu bapa.

“Bayi sudah biasa berasa hayunan selama hampir 24 jam sehari untuk sepanjang sembilan bulan di dalam kandungan ibu.

“Ia berlaku setiap kali ibu bergerak terutama jika pergerakan pantas dan aktif seperti bersenam, menaiki tangga, menari dan sebagainya,” katanya.

Ujarnya, sensasi hayunan yang dirasakan bayi setiap kali ibu bergerak ini amat mententeramkan malah membuai mereka untuk tidur.

Ia antara sebab bayi mula aktif (menendang) apabila ibu sedang tidur atau berada dalam keadaan statik seperti berehat kerana aktiviti ibu mempengaruhi pergerakan bayi yang dikandung.

Justeru, sensasi hayunan ini sudah lama dirasakan dan menyebabkan bayi sudah terbiasa. Apabila bayi merasai kehilangan sensasi hayunan secara drastik selepas dilahirkan, si kecil sukar menerimanya hingga menyebabkannya menangis.

Semua bayi memerlukan sensasi hayunan sejak hari pertama dilahirkan. Ada ramai bayi terutama daripada kategori sensitif dan kolik (sawan tangis) yang memerlukan sensasi hayunan berterusan untuk bertenang atau tidur.

Namun, sensasi hayunan atau buaian ini boleh diperoleh dengan cara mendukung bayi sambil bergerak secara berterusan atau menari, menolak si kecil dalam kereta sorong, menepuk punggung atau belakang badan secara berentak dan membawa bayi menaiki kenderaan.

Semua kelakuan ini boleh memberikan sensasi hayunan yang amat digemari bayi. Cuma apabila tuntutan itu tidak dapat dipenuhi secara berpanjangan oleh ibu dalam tempoh lama, kaedah buaian menjadi gantinya.

“Secara spesifiknya, kebanyakan bayi mampu untuk tidur tanpa buai seawal usia sebulan hingga tiga bulan dengan syarat si kecil dilatih dengan teknik mententeramkan diri sendiri.

“Ini boleh dilakukan dengan cara latihan seperti meletakkan bayi di atas tilam atau katil tanpa perlu bergantung kepada sensasi buaian untuk tidur dengan sendiri,” katanya.

Jelas Uswatun Hasanah, ada ramai ibu bapa yang masih keliru mengenai penggunaan buaian bayi dengan alasan mahu memberikan si kecil tidur lebih lena.

“Ibu bapa perlu tahu tidak semua buai yang direka selamat digunakan bayi. Penggunaan buai yang selamat daripada jenis buai bayi boleh laras penuh saja.

“Ia satu-satunya jenis buai yang memenuhi piawaian ciri keselamatan antarabangsa atas faktor reka bentuk buaian itu sendiri,” katanya.

Antara ciri buai yang selamat ialah:

1. Ia mempunyai ‘kerusi duduk’ yang memberi sokongan sekitar 45 darjah pada bahagian belakang bayi. Ini penting untuk memastikan kepala tidak melentok ke bawah dan menekan dada kerana ia boleh menyebabkan kesukaran bayi untuk bernafas atau digelar asphyxiation (lemas).

Kedudukan ini juga memudahkan bayi untuk ‘melontarkan’ muntah atau lebihan susu yang mungkin tersekat ditekak. Sekurang-kurangnya, posisi ini memudahkan bayi untuk menangis atau membuat sebarang bunyi amaran jika ada sesuatu yang tidak kena.

Ia memberi keselesaan yang lebih kepada bayi berbanding menggunakan buaian sarung yang menyebabkan badan si kecil melengkung dan menyukarkannya mengangkat kepala daripada terus menekan dadanya.

2. Ia dilengkapi tali pinggang untuk memastikan bayi selamat pada buaian. Cara ini membantu mengelakkan bayi daripada tercampak keluar.

3. Buai yang mempunyai panel sokongan sisi dan bersambung dengan kaki buaian yang besar. Ia me­nyukarkan potensi bayi terhentak ke bawah atau ke tepi dinding.

Ujarnya, terdapat kesan baik dan buruk penggunaan buaian bayi. Antara kesan baik penggunaan buai kepada bayi apabila si kecil mendapat sensasi hayunan berterusan yang diperlukan untuk bertenang atau tidur tanpa perlu bergantung kepada ibu bapa atau penjaga.

“Kesan buruk penggunaan buai hanya muncul apabila ibu bapa atau penjaga mengamalkan peng­gunaan buai tanpa ilmu yang lengkap. Ada banyak cara lain yang boleh menggantikan fungsi buaian bayi dalam menyediakan sensasi hayunan.

“Antaranya mendukung bayi sambil bergerak secara berterusan atau menari, menggendong, menolak si kecil dalam kereta sorong, menepuk punggung atau belakang badan secara berentak, meletakkan bayi sambil menggerakkan riba dan membawa menaiki kenderaan,” katanya.

Ada dua kerisauan paling kerap disuarakan ramai ibu bapa mengenai amalan penggunaan buaian bayi iaitu ketagihan. Kebanyakan ibu risau jika bayi mereka tidak dapat tidur jika tiada buaian yang membuatkan mereka menghadapi masalah untuk mengusung buaian ke mana saja.

Hal ini memang boleh terjadi apabila ibu mengamalkan penggunaan buaian bayi tanpa ilmu yang lengkap. Penting untuk ibu bapa mendalami teknik mententeramkan bayi yang lain serta mempelajari mengenai isu tidur si kecil.

Melalui ilmu, ibu bapa akan memahami bayi memang boleh tidur tanpa buai seawal usia satu hingga tiga bulan jika tahu kaedah yang betul.

Justeru, tidak timbul isu ketagihan atau ibu perlu mengusung buaian untuk ke mana saja kerana pada usia satu hingga tiga bulan, kebanyakan ibu masih bercuti pantang.

“Perkara kedua yang sering dibimbangi ibu bapa mengenai penggunaan buaian ialah gegaran otak. Gegaran otak yang memudaratkan bayi digelar sindrom bayi digoncang.

“Ia adalah satu bentuk penderaan bayi yang berlaku apabila si kecil digoncang secara ganas atau gerakan kuat oleh orang dewasa yang tidak tahan ketika berhadapan dengan tangisan bayi.

“Daya yang diperlukan untuk mencetus kerosakan otak kepada bayi lebih besar berbanding terjatuh daripada katil. Ini bermakna, bayi digoncang dengan amat ganas sehingga kepalanya melantun ke depan dan belakang, kiri dan kanan dengan cepat serta berulang kali yang mengakibatkan otaknya menghentam tempurung kepala,” katanya.

Goncangan seperti itu boleh menyebabkan pendarahan otak berlaku disebabkan salur darah dalam otak yang terkoyak akibat hentaman ke atas tempurung kepala bayi.

Secara amnya, perkara berkenaan tidak akan terjadi kepada bayi melalui penggunaan buai melainkan jika terdapat kes kepala si kecil yang terhentak berulang kali ke lantai atau tepi dinding.

Jelas dalam hal ini, buaian bayi yang digunakan bukanlah daripada jenis yang mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa seperti yang dinyatakan tadi.

Untuk sebarang maklumat lanjut, layari www.malaysiababycrycounselor.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 12:13 PM