FOTO menunjukkan tingkap rosak pada pesawat berkenaan. FOTO Agensi
FOTO menunjukkan tingkap rosak pada pesawat berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

London: Sebuah pesawat berlepas dari Lapangan Terbang London Stansted di United Kingdom (UK) terpaksa berpatah balik selepas hanya setengah jam di udara ketika ia pada ketinggian 10,000 kaki (kira-kira 3,000 meter/ m), apabila seorang anak kapal menyedari terdapat tingkap kabin yang rosak.

Portal berita Global News melaporkan apabila pesawat itu selamat mendarat semula, anak kapal mendapati dua cermin tingkap pesawat itu hilang sepenuhnya dan dua lagi tercabut.

Menurut laporan insiden yang diterbitkan lewat minggu lalu oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK, sehari sebelum penerbangan, pesawat itu digunakan sebagai set filem.

Penerbangan pesawat Airbus A321 pada 4 Oktober itu menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando, Amerika Syarikat, dengan 11 anak kapal dan sembilan penumpang yang kesemuanya adalah pekerja pengendali pelancongan atau syarikat pengendali pesawat.

Tidak lama selepas berlepas, beberapa penumpang menyedari bahawa ruang kabin pesawat kelihatan lebih bising dan lebih sejuk daripada biasa.

FOTO menunjukkan tingkap pesawat Airbus A321 yang rosak dan hilang, hanya disedari ia selepas berlepas dari Lapangan Terbang London Stansted pada 4 Oktober 2023. FOTO Agensi
FOTO menunjukkan tingkap pesawat Airbus A321 yang rosak dan hilang, hanya disedari ia selepas berlepas dari Lapangan Terbang London Stansted pada 4 Oktober 2023. FOTO Agensi

Ketika pesawat itu mencecah ke 10,000 kaki di udara, dan tanda tali pinggang keledar dimatikan, seorang anak kapal meronda di kabin untuk menyiasat punca bunyi itu.

Berdasarkan laporan insiden, perhatian anak kapal itu tertumpu kepada tingkap di sebelah kiri pada bahagian belakang pesawat dan dia perasan cermin tingkap kelihatan tergelincir ke bawah.

"Anak kapal itu menyifatkan bunyi bising kabin sebagai 'cukup kuat untuk merosakkan pendengaran anda'," menurut catatan laporan insiden itu.

Anak kapal memberitahu juruterbang dan mujur pada masa itu 'tiada tanda-tanda yang tidak normal di dek penerbangan. Sistem tekanan pesawat beroperasi seperti biasa sepanjang penerbangan'.

Jurutera penerbangan dan juruterbang ketiga menyiasat tingkap yang rosak dan memutuskan pesawat itu harus kembali ke Lapangan Terbang Stanstead.

Pada ketinggian kira-kira 14,000 kaki (kira-kira 4,276 m) pesawat itu berpatah balik dan dapat mendarat tanpa sebarang kejadian. Jumlah masa penerbangan ialah 36 minit.

LAMPU limpah bersinar terarah di tingkap kira-kira empat hingga lima setengah jam semasa aktiviti penggambaran sehari sebelum penerbangan dipercayai menyebabkan tingkap pesawat Airbus A321 rosak dan hilang. FOTO Agensi
LAMPU limpah bersinar terarah di tingkap kira-kira empat hingga lima setengah jam semasa aktiviti penggambaran sehari sebelum penerbangan dipercayai menyebabkan tingkap pesawat Airbus A321 rosak dan hilang. FOTO Agensi

Selepas mendarat, anak kapal memeriksa pesawat dan mendapati bukan hanya satu tingkap yang rosak, malah ia membabitkan tingkap lain.

Komponen tingkap terdiri daripada anak tetingkap di dalam dan luar, serta pengedap getah. Dua komponen pada dua tingkap hilang sepenuhnya dari pesawat, menurut laporan insiden.

Sehari sebelum penerbangan, pesawat itu digunakan untuk penggambaran yang pada masa itu, lampu berkuasa tinggi bersinar dipancarkan di tingkap pesawat, selama berjam-jam.

"Tingkap kelihatan mengalami kerosakan kerana suhu tinggi kerana haba selama kira-kira empat hingga lima setengah jam semasa aktiviti penggambaran sehari sebelum penerbangan," kata laporan insiden itu sambil menjelaskan kru pesawat tidak melihat kerosakan itu sebelum berlepas pada hari berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 11:26 AM