PESAWAT diparkir di kawasan berasingan dari terminal. FOTO Agensi
PESAWAT diparkir di kawasan berasingan dari terminal. FOTO Agensi
Agensi

London: Dua jet pejuang Typhoon dikerah untuk mengejar sebuah pesawat komersial yang didakwa menerima ancaman bom.

Pesawat itu dikesan menerima ancaman itu ketika terbang melintasi ruang Essex di England.

Pesawat Jet2 LS922 dalam penerbangan dari Turkiye menuju Manchester namun dilencongkan ke London.

Jet pejuang itu yang berpangkalan di Lincolnshire menerima arahan untuk mengiringi pesawat Airbus A321 itu jam 8 malam pada Khamis.

Pesawat itu kemudian dilencongkan ke Lapangan Terbang Stansted dan polis sudah bersedia di kawasan landasan.

Pesawat itu juga diarahkan untuk parkir di kawasan yang jauh dari terminal bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dibuat.

Jet2 dalam kenyataan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan Pusat Kawalan Udara United Kingdom mengarahkan pesawat dilencongkan ke London.

"Pesawat itu mendarat dengan selamat dan parkir di kawasan berasingan dari terminal.

"Kami kini sedang giat bekerjasama dengan polis Lapangan Terbang Stansted termasuk beberapa pihak berkuasa berkaitan," katanya.

Syarikat berkenaan setakat ini masih belum mendedahkan punca pesawat dilencongkan sama ada mempunyai kaitan dengan ancaman bom atau sebaliknya.

Namun, sumber penerbangan mengesahkan pesawat dilencongkan disebabkan ancaman bom.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 3:19 PM