PESAWAT EasyJet. FOTO Reuters.
PESAWAT EasyJet. FOTO Reuters.
Agensi

Madrid: Sukar berlepas kerana cuaca buruk dan terlalu berat, memaksa juruterbang syarikat penerbangan EasyJet meminta sejumlah penumpangnya keluar bagi 'meringankan' pesawat itu.

Ia sepatutnya berlepas dari Lapangan Terbang Arrecife, Lanzarote di Sepanyol ke Lapangan Terbang John Lennon, Liverpool pada 9.45 malam, 5 Julai lalu tetapi ditangguhkan hingga 11.30 malam.

Menurut juruterbang, cuaca malam itu tidak memungkinkan pesawat berlepas dalam keadaan padat dengan penumpang.

Video dirakam penumpang jelas menunjukkan juruterbang berkata, "Kerana anda terlalu ramai, ia agak berat buat pesawat terbang.

"Pesawat yang penuh, ditambah landasan pendek dan dengan cuaca yang tidak begitu baik di Lanzarote, bermakna pesawat terlalu berat untuk berlepas.

"Saya sudah berbincang dengan pegawai pertama dan kami berpengalaman dalam situasi begini dan pernah melakukannya sebelum ini.

"Dengan keselamatan adalah keutamaan kami, tidak mungkin dalam cuaca ini, kita dapat menerbangkan pesawat. Ada beberapa faktor, antaranya, terlalu panas, angin tidak begitu baik dan arah tidak bagus.

"Saya minta 20 orang sukarela untuk menaiki penerbangan berikutnya ke Liverpool. Jika ada yang sukarela, akan ada insentif... jumlah ditawar easyJet sehingga €500 (RM2,533.55) untuk setiap penumpang yang sanggup tidak terbang malam ini," umum juruterbang itu.

Video yang disiarkan di TikTok, ditonton kira-kira 1.7 juta kali dengan lebih daripada 65,000 tanda suka.

Pesawat itu akhirnya tiba di Liverpool pada 3 pagi keesokan harinya.

Jurucakap easyJet mengesahkan kepada Liverpool Echo yang 19 penumpang sukarela meninggalkan pesawat berkenaan.

"easyJet mengesahkan bahawa 19 penumpang dalam penerbangan EZY3364 dari Lanzarote ke Liverpool menawarkan diri untuk menaiki penerbangan berikutnya akibat pesawat itu melebihi had berat bagi keadaan cuaca semasa.

"Ia langkah bagi operasi rutin dalam keadaan sedemikian dan sekatan berat dikenakan untuk semua syarikat penerbangan atas sebab keselamatan.

"Sekiranya penerbangan melebihi had berat, kami akan meminta penumpang untuk secara sukarela berpindah ke penerbangan berikutnya secara percuma, dan mereka diberikan pampasan selaras peraturan," katanya.

Bulan lalu, ribuan penumpang EasyJet mengalami kelewatan penerbangan selepas ribut petir melanda Lapangan Terbang Gatwick, hab popular untuk syarikat penerbangan itu.

Sebanyak 55 penerbangan dibatalkan pada 12 Jun, yang menjejaskan 15,000 penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 1:33 PM