TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan enjin kiri pesawat berkenaan yang terbakar.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan enjin kiri pesawat berkenaan yang terbakar.
Agensi

New Delhi: Sebuah pesawat SpiceJet yang menuju ke Delhi, membawa 185 penumpang melakukan pendaratan cemas di Patna, sejurus berlepas kerana enjin kirinya terbakar selepas dilanggar burung.

Video yang dirakam penduduk tempatan menunjukkan percikan api keluar dari enjin kiri, lapor New Delhi TV.

Semua penumpang selamat dipindahkan dan tiada laporan mengenai sebarang kecederaan, kata pegawai.

"Burung yang dilanggar terus ke dalam enjin. Tiga bilah kipas rosak. Ia mengakibatkan kebakaran. Tetapi tidak ada isyarat di kokpit," kata Kapten Gurcharan Arora, ketua operasi penerbangan di SpiceJet, kepada NDTV.

Selepas itu, juruterbang mematikan enjin mengikut prosedur dan meminta pendaratan kecemasan.

"Pesawat disyaki terlanggar burung dan menjejaskan enjin nombor satu. Sebagai langkah berjaga-jaga, kapten penerbangan menutup enjin dan berpatah balik ke Patna. Pemeriksaan selepas penerbangan menunjukkan burung dilanggar dengan tiga bilah kipas rosak," kata jurucakap SpiceJet.

Beberapa penumpang berkata, mereka merasakan gegaran di dalam pesawat sejurus selepas berlepas dan lampu mula ditutup

.

"Kami membunyikan penggera. Anak kapal kemudian memberitahu kami bahawa pendaratan kecemasan sedang dilakukan," kata salah seorang penumpang.

Pengarah lapangan terbang Patna berkata bahawa SpiceJet mengatur penerbangan alternatif untuk penumpang.

"Tiada seorang pun penumpang yang cedera. Perjalanan mereka ke Delhi sedang diatur oleh pesawat alternatif. Punca kebakaran sedang disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 9:51 AM