YAHAYA (kanan) bersama Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Jelebu, Inspektor Mohd Fauzi Md Yasin melihat lokasi sebuah pesawat ringan terhempas di Kampung Purun,Titi. FOTO Adzlan Sidek
YAHAYA (kanan) bersama Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Jelebu, Inspektor Mohd Fauzi Md Yasin melihat lokasi sebuah pesawat ringan terhempas di Kampung Purun,Titi. FOTO Adzlan Sidek
Hasbi Sidek


DUA mangsa pesawat ringan terhempas di Purun, Titi, Sabtu lalu, menerbangkan pesawat lain dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor sebelum mendarat di Kuala Klawang, Jelebu.

Hasil siasatan mendapati juruterbang seorang lelaki warga Amerika Syarikat bersama rakannya seorang warga tempatan dikesan menukar pesawat sebelum berlepas lalu terhempas tidak jauh dari sebuah landasan di Kuala Klawang.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, pesawat yang dinaiki terhempas kerana cuaca buruk.

“Pada 29 Jun lalu, sebuah pesawat SINUS-VG dengan pendaftaran HA-TAM berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, jam 10 pagi ke Kuala Klawang dan mendarat di sebuah landasan milik peribadi jam 10.28 pagi sebelum melaporkan kepada Kawalan Trafik Udara Subang akan berada di lokasi selama tiga jam.

“Kedua-dua mangsa bagaimanapun kemudian menerbangkan pesawat TECNAM P2 dengan pendaftaran 9M-MZC dan ketika berlepas, mereka mengalami cuaca buruk sebelum hilang kawalan dan terhempas,” kata kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya, pesawat berkenaan kemudian terbakar namun mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum diselamatkan orang awam serta dibawa ke hospital dan kini dirawat di sebuah hospital swasta.

Katanya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak mendapat maklumat mengenai ciri dari segi kesesuaian landasan berkenaan dan tidak pernah memberikan kelulusan untuk sebarang aktiviti penerbangan di landasan milik peribadi itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan berhubung keselamatan di udara di kawasan berkenaan bagi penerbangan rendah,” katanya.

Mengulas keadaan mangsa, juruterbang pesawat berkenaan memegang Lesen Pemandu Pesawat Malaysia dari Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat manakala seorang lagi mangsa adalah penumpang.

“Mangsa pemegang Lesen Pemandu Pesawat Peribadi Malaysia tamat tempoh pada 22 April 2020,” katanya.

Mengulas lanjut, tiada panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu, selain tiada pengaktifan transmitor kecemasan untuk bantuan kecemasan selepas Kawalan Trafik Udara mendapat maklumat mereka mendarat dengan selamat di Kuala Klawang.

Tambahnya, pihak CAAM akan menilai semula kesesuaian landasan berkenaan bagi aktiviti penerbangan bagi memastikan keselamatan di udara dan penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 4:30 AM