KELUARGA diraja (dari kiri ke kanan) Puteri Anne, Putera George, Putera Louis, Catherine, Puteri Charlotte, Putera William, Raja Charles III dan Permaisuri Camilla. FOTO AFP
KELUARGA diraja (dari kiri ke kanan) Puteri Anne, Putera George, Putera Louis, Catherine, Puteri Charlotte, Putera William, Raja Charles III dan Permaisuri Camilla. FOTO AFP
AFP

London: Kos untuk keluarga diraja Britain daripada pembayar cukai United Kingdom (UK) meningkat lima peratus sepanjang tahun lalu, berdasarkan laporan kewangan tahunan isi rumah Raja Charles III pada Khamis.

Pembantu diraja menyumbang kepada peningkatan dalam perbelanjaan, sebahagiannya berikutan pertukaran raja berikutan kematian Ratu Elizabeth II pada September lalu, dan pengambilalihan pemerintahan oleh anaknya, Charles, Mei tahun ini.

Kos pengebumian Elizabeth dan pertabalan Charles bagaimanapun tidak termasuk dalam laporan kewangan.

Pemacu utama perbelanjaan lain termasuk program 10 tahun untuk naik taraf kabel elektrik, paip dan pemanasan di Istana Buckingham iaitu kediaman rasmi raja.

Angka untuk perbelanjaan bersih meningkat sebanyak 5.1 juta pound sterling (kira-kira RM30 juta) atau lima peratus, kepada 107.5 juta pound sterling (kira-kira RM634 juta) untuk 2022 dan tahun ini.

Jumlah yang diterima oleh keluarga diraja daripada dompet awam melalui Geran Berdaulat kekal tidak berubah pada 86.3 juta pound sterling (kira-kira RM509 juta) untuk dua tahun (2022 hingga 2023).

Perbelanjaan untuk perjalanan menurun sebanyak 600,000 pound sterling (kira-kira RM3.5 juta) kepada 3.9 juta pound sterling (kira-kira RM23 juta), manakala pengemasan dan hospitaliti meningkat daripada 1.3 juta pound sterling (kira-kira RM7.7) kepada 2.4 juta pound sterling (kira-kira RM14.2 juta).

Penyelenggaraan hartanah jatuh 6.1 juta pound sterling (kira-kira RM36 juta) kepada 57.8 juta pound sterling (kira-kira RM341 juta).

Kos kakitangan meningkat sebanyak 3.4 juta pound sterling (kira-kira RM20 juta) kepada 27.1 juta pound sterling (kira-kira RM160 juta) dengan kakitangan diberi kenaikan gaji lima hingga enam peratus.

Geran Berdaulat membayar tugas rasmi raja dan pemuliharaan istana diraja.

UK kini berada dalam cengkaman krisis kos sara hidup dengan inflasi mencecah 8.7 peratus bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 12:35 PM