KRISIS yang melanda Ukraine. FOTO REUTERS
KRISIS yang melanda Ukraine. FOTO REUTERS
minda

Dunia ketika ini tertumpu kepada krisis Ukraine dan Rusia.

Rusia sebelum ini dipercayai mengumpulkan lebih 100,000 kekuatan tentera berhampiran sempadan Ukraine sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Data berkenaan dianggarkan Amerika Syarikat (AS) sekali gus menimbulkan kebimbangan pegawai perisikan Barat dan Ukraine.

Ketika usaha terburu-buru diplomatik dilakukan untuk mengelak peperangan, penganalisis memberi amaran tentera Rusia menimbulkan 'ancaman segera' kepada Ukraine.

Tetapi jika pencerobohan berlaku, tidak jelas di mana ia akan bermula.

Pada satu ketika, Rusia dilihat seakan-akan mencipta 'titik tekanan' di tiga bahagian Ukraine, iaitu di selatan, Crimea di sebelah Rusia di sempadan kedua-dua negara dan di Belarus iaitu bahagian utara.

Khamis lalu, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menyatakan belum melihat tanda-tanda pengurangan tentera Rusia di sempadan Ukraine, walaupun negara itu bertegas beberapa unit latihan ketenteraannya sudah kembali ke pangkalan.

Setiausaha Agungnya, Jens Stoltenberg menyifatkan kenyataan Rusia itu sekadar memberi bayangan sementara bahawa negara itu tidak akan menyerang Ukraine dalam masa terdekat.

Reuters pula melaporkan seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden Joe Biden memberitahu wartawan bahawa AS percaya dakwaan Rusia bahawa ia mengundurkan tentera dari sempadan Ukraine adalah 'palsu.'

Pegawai itu, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, pentadbiran Biden mengesahkan bahawa Rusia meningkatkan kehadiran tenteranya di sepanjang sempadan Ukraine seramai 7,000 orang, dengan ramai daripada mereka tiba seawal Rabu.

Kementerian Pertahanan Rusia sebelum ini berkata, tenteranya berundur selepas latihan berhampiran Ukraine, dan menerbitkan video yang menunjukkan tentera meninggalkan Semenanjung Crimea.

Tetapi Setiausaha Negara AS Antony Blinken dalam temu bual di MSNBC, Rabu lalu berkata, unit kritikal sedang bergerak ke arah sempadan.

Sehari sebelumnya, Biden berkata, AS menganggarkan 150,000 tentera Rusia mengepung Ukraine, peningkatan daripada anggaran sebelumnya kira-kira 100,000.

Jadi, apa yang sebenarnya mencetuskan krisis terbaharu ini?

Semuanya, berpunca kerana Rusia tidak mahu Ukraine menyertai Nato. Pakatan ini dianggotai 30 negara termasuk kuasa besar dunia seperti AS, United Kingdom, Perancis dan Jerman.

Dalam pemahaman mudah, jika Ukraine menyertai Nato, ia akan bersama-sama dengan negara pesaing kepada Rusia iaitu AS. Hal ini tidak disenangi Rusia.

Rusia mahu jaminan bahawa Ukraine sama sekali tidak akan menyertai gabungan itu. Ini memandangkan, jika langkah itu terlaksana, ia akan menjadikan 'kawalan' Nato sampai ke sempadannya.

Memandangkan Nato adalah pakatan bersama, ia akan membantu jika mana-mana negara ahlinya diserang negara luar.

Pakatan itu juga melihat sebarang ancaman kepada mana-mana negara ahli adalah serangan kepada gabungan berkenaan. Ini termaktub dalam prinsip pertahanan bersama menerusi Artikel 5 Perjanjian Washington.

Jika Ukraine adalah anggota Nato, ada kebarangkalian bahawa pakatan itu akan melaksanakan operasi ketenteraan untuk mengambil semula Crimea yang sebelum ini ditakluk Rusia pada 2014.

Ini adalah sebab utama Rusia menentang habis-habisan usaha Ukraine untuk menganggotai Nato.

Hal ini juga pernah dinyatakan oleh Presiden Rusia Vladimir Putin. Beliau memberi bayangan jika Ukraine menjadi negara anggota Nato dan gabungan itu memulakan operasi ketenteraan, adakah ketika itu, Rusia perlu berperang dengan negara blok Nato.

Jadi, apa yang Rusia lakukan ketika ini adalah untuk mendesak negara Barat untuk mengundurkan tenteranya di negara Eropah Timur dan tidak meluaskan pengaruhnya di Ukraine.

Perkara ini juga ditegaskan oleh Timbalan Menteri Luar Rusia yang mengatakan adalah 'mandatori' untuk negara itu memastikan Ukraine tidak menjadi anggota Nato.

Ketika ini, semua pihak memantau secara dekat krisis Ukraine-Rusia ini. Sebarang pergolakan akan memberi kesan kepada landskap sosioekonomi dan politik dunia.

Jika perang tercetus, negara Eropah lain juga dalam dilema sama ada mahu menyebelahi Rusia atau AS, susulan kebergantungan negara blok itu kepada minyak dan gas Rusia.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 7:00 AM