KERETA perisai Rusia yang terbabit latihan ketenteraan bersama Belarus. FOTO EPA
KERETA perisai Rusia yang terbabit latihan ketenteraan bersama Belarus. FOTO EPA
AFP

Moscow: Russia dan Belarus menjalankan latihan ketenteraan bersama yang meningkatkan lagi ketegangan terhadap usaha diplomatik oleh pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) bagi mengelak pencerobohan terhadap Ukraine.

Nato berkata, Rusia menghantar tentera dan misil bagi menunjukkan 'suasana bahaya' terhadap keselamatan Eropah.

Moscow juga meletakkan lebih 100,000 tentera di sempadan Ukraine sebagai persediaan terhadap sebarang tindak balas.

Pemimpin Barat berulang alik ke Moscow sejak beberapa hari lalu dalam usaha untuk meredakan ketegangan, memberi peluang kepada Rusia untuk menyuarakan rungutannya mengenai perluasan pengaruh Nato ke Timur Eropah Timur dan negara bekas Soviet.

Setiausaha Luar Britain, Liz Truss menyampaikan mesej keras kepada Moscow pada Khamis dengan menuduh Rusia melakukan 'gerakan mengancam' dan menggesa menarik balik tenteranya bagi membuktikan negara itu tidak berniat untuk menyerang Ukraine.

Kyiv mengecam ancaman perang yang akan berlangsung sehingga 20 Februari ini sebagai 'tekanan psikologi', manakala Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian menggelar latihan itu sebagai 'isyarat yang sangat ganas'.

Sistem misil Rusia dilihat bergerak ke kawasan diliputi salji pada petang latihan itu bermula berdasarkan gambar yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 9:42 AM