KEADAAN di atas kapal pengangkut pesawat AS, USS Harry S Truman di Laut Adriatik. FOTO Reuters
KEADAAN di atas kapal pengangkut pesawat AS, USS Harry S Truman di Laut Adriatik. FOTO Reuters
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) rancang mengerahkan kira-kira 3,000 tentera bagi membantu sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di timur Eropah berikutan bimbang Rusia menyerang Ukraine.

Media tempatan melaporkan, kira-kira 2,000 tentera bakal dihantar dari Fort Bragg, Carolina Utara ke Poland dan Jerman, manakala 1,000 lagi yang berada di pangkalan Jerman dikerahkan ke Romania.

"Jabatan Pertahanan akan menempatkan semula unit tertentu yang berpangkalan di Eropah lebih jauh ke timur, mengerahkan unit tambahan berpangkalan AS ke Eropah dan mengekalkan tahap kesediaan pasukan tindak balas yang semakin meningkat untuk memenuhi komitmen kepada Nato.

"Pasukan ini tidak akan berperang di Ukraine.

"Mereka bukan gerakan kekal. Mereka bertindak balas kepada keadaan semasa," kata pegawai kanan pentadbiran Presiden Joe Biden, semalam.

Beliau berkata demikian mengenai penempatan Rusia yang mempunyai lebih 100,000 tentera bersama-sama dengan senjata serangan berat di sepanjang sempadan Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 9:37 AM