VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
AFP

Frankfurt: Ujian percubaan syarikat farmaseutikal Pfizer-BioNTech menunjukkan vaksin itu selamat dan berkesan menghasilkan tindak balas imun yang kuat kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Syarikat berkenaan akan mendapatkan kelulusan penggunaan vaksin kepada golongan berkenaan dalam masa terdekat.

Katanya, vaksin berkenaan akan diberikan dos paling rendah berbanding individu berusia 12 tahun ke atas.

"Vaksin itu selamat dan menunjukkan tindak balas antibodi yang kuat kepada peserta lima hingga 11 tahun," katanya dalam kenyataan bersama.

Menurut kenyataan itu, pihaknya akan menghantar data berkenaan kepada pihak berkuasa kesihatan di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan negara lain secepat mungkin.

Dekan Sekolah Kesihatan Awam Universiti Brown dan pakar Covid-19 terkemuka di AS, Ashish Jha menyifatkan perkembangan itu sebagai berita baik yang dinantikan ramai ibu bapa.

Hasil percubaan berkenaan adalah yang pertama seumpamanya untuk kumpulan kanak-kanak di bawah 12 tahun, manakala percubaan Moderna untuk golongan berumur enam hingga 11 tahun masih berjalan.

Pada masa ini, suntikan Pfizer dan Moderna sudah diberikan kepada remaja berusia lebih dari 12 tahun di beberapa negara dan orang dewasa di seluruh dunia.

Terbaharu, United Kingdom, Scotland dan Wales tersenarai dalam negara yang memberi vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 15 tahun minggu ini, manakala Ireland Utara akan mengikuti langkah negara berkenaan bulan depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 9:00 AM