GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

New York: Kanak-kanak seawal usia enam tahun akan menyertai ujian vaksin Covid-19 kendalian Universiti Oxford dan AstraZeneca bagi memastikan keberkesanannya terhadap golongan kanak-kanak.

Universiti berkenaan dalam kenyataan berkata, ujian berkenaan akan menilai tindak balas imun bagi kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun dengan sesi itu akan disertai 300 sukarelawan bulan ini.

Ketua Penyiasat ujian berkenaan, Andrew Pollard berkata, dalam kajian itu sehingga 240 sukarelawan akan menerima vaksin Covid-19 manakala satu lagi kumpulan terkawal akan diberi vaksin meningitis yang diperakui selamat untuk kanak-kanak dan menghasilkan tindak balas serupa.

"Walaupun kebanyakan kanak-kanak tidak menerima kesan teruk akibat Covid-19 dan ada antara mereka masih kelihatan sihat walaupun dijangkiti, adalah penting untuk memastikan tindak balas imun dan selamat terhadap vaksin itu dalam kalangan kanak-kanak.

"Ujian baharu ini akan memberikan kita pemahaman lanjut berkaitan SARS-CoV2 terhadap mereka yang berusia muda," katanya seperti dilaporkan CBS News.

Sejumlah vaksin, termasuk dihasilkan Oxford/AstraZeneca serta Pfizer dan Moderna yang banyak digunakan di seluruh dunia, menunjukkan keberkesanan untuk mencegah jangkitan simptomatik.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 6:45 AM