PAPAN tanda menunjukkan sebuah pusat vaksinasi di hospital di New York. FOTO AFP
PAPAN tanda menunjukkan sebuah pusat vaksinasi di hospital di New York. FOTO AFP
AFP

Washington: Amerika Syarikat memberi kelulusan suntikan dos penggalak Pfizer dan Moderna kepada semua individu yang berusia 18 tahun dan ke atas, pada Jumaat.

Dos penggalak sebelum ini ditawarkan kepada individu yang lemah imuniti, warga emas lebih 65 tahun, mereka yang berisiko menghidap penyakit teruk serta yang bekerja dalam bidang pekerjaan berisiko tinggi.

Pemangku Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA), Janet Woodcock berkata, keputusan baharu itu membantu dalam menyediakan perlindungan berterusan terhadap Covid-19.

"Ini termasuk jangkitan serius seperti kemasukan ke hospital dan kematian," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel berkata, kebenaran penggunaan kecemasan itu tepat pada masanya ketika kes Covid-19 melonjak di negara itu.

"Kebenaran penggunaan kecemasan ini tepat pada masanya ketika kita memasuki musim sejuk dan sedang kritikal menghadapi peningkatan kes Covid-19 dan kemasukan ke hospital di seluruh negara," katanya.

FDA berkata, kelulusan itu diberikan berdasarkan keputusan data tindak balas imuniti kuat daripada ratusan individu yang menggunakan dua vaksin berkenaan.

Pfizer turut menjalankan ujian klinikal membabitkan 10,000 individu berumur lebih 16 tahun yang mendapati dos penggalak menunjukkan keberkesanan terhadap jangkitan simptomatik melebihi 95 peratus berbanding mereka yang tidak menerima penggalak.

Kajian ini tidak dipetik oleh FDA dalam membuat keputusannya, tetapi ia menunjukkan vaksin Pfizer berfungsi paling baik sebagai suntikan dos ketiga.

Kedua-dua vaksin boleh diambil kepada mereka yang sudah lengkap vaksin selepas enam bulan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 9:47 AM