PEMBERIAN vaksin. FOTO AFP
PEMBERIAN vaksin. FOTO AFP
AFP

Moscow: Rusia enggan melaksanakan sekatan pergerakan walaupun merekodkan jumlah kematian tinggi untuk empat hari berturut-turut.

Angka yang diumumkan menunjukkan 679 individu maut akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam, ketika Rusia bergelut peningkatan jangkitan akibat varian Delta dan pemberian vaksin yang perlahan.

Rusia, yang juga negara kelima paling teruk terjejas enggan melaksanakan sekatan penuh sejak gelombang pertama tahun lalu.

Ia tetap menganjurkan acara besar termasuk perlawanan bola sepak Euro 2020 di Saint Petersburg.

Presiden Vladimir Putin sekali lagi menggesa warganya mendapatkan vaksin dalam satu siaran televisyen minggu ini.

Namun, Kremlin menegaskan bahawa sekatan pergerakan tidak akan dilaksanakan.

"Tiada sesiapa mahu sekatan pergerakan dan ia bukan untuk dibincangkan. Sebab itulah semua orang perlu mendapatkan vaksin secepat mungkin," kata jurucakap Putin, Dmitry Peskov.

Sementara itu, Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin berkata, varian Delta menjadi penyumbang utama sehingga 90 peratus kepada kes jangkitan baru yang direkodkan.

Sobyanin sebelum ini mengarahkan satu pertiga kakitangan bekerja di rumah kecuali kakitangan yang sudah mendapat vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 8:03 PM