Seorang pelancong mengenakan pelitup muka berjalan berhampiran Red Square di Moscow. - FOTO AFP
Seorang pelancong mengenakan pelitup muka berjalan berhampiran Red Square di Moscow. - FOTO AFP
AFP
Moscow: Rusia sekali lagi merekodkan jumlah kematian tertinggi akibat Covid-19 dengan 1,028 individu maut dalam tempoh 24 jam. Ia menggesa Presiden Vladimir Putin untuk melaksanakan sekatan baru di seluruh negara. Angka terbaru itu menjadikan jumlah kematian keseluruhan di Rusia mencapai 226,353, yang tertinggi di Eropah. Rusia turut merekodkan 34,074 kes baru dalam tempoh sama. Setakat ini, hanya 35 peratus populasi sudah menerima vaksinasi lengkap. Walaupun berulang kali membuat gesaan, Putin masih bergelut memujuk penduduk Rusia untuk mendapatkan vaksin. Malah, jurucakapnya, Dmitry Peskov juga masih belum menerima suntikan vaksin berkenaan. Putin dijangka membentangkan cadangan untuk melaksanakan cuti selama seminggu bagi mengekang penularan. Di bawah pelan berkenaan, penduduk Rusia tidak perlu keluar bekerja pada minggu pertama November, sama dengan tarikh cuti sekolah. Semalam, Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin mengarahkan sekatan pergerakan di bandar berkenaan di mana individu berusia lebih 60 tahun dan belum menerima vaksin perlu bekerja dari rumah. Sekatan itu akan berlangsung Isnin nanti dan dijangka berpanjangan sehingga hujung Februari tahun depan. Sobyanin juga meminta majikan membenarkan 30 peratus kakitangan bekerja di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 8:51 PM