ORANG ramai menyertai tunjuk perasaan di Poland bagi menunjukkan solidariti terhadap Protasevich. FOTO EPA
ORANG ramai menyertai tunjuk perasaan di Poland bagi menunjukkan solidariti terhadap Protasevich. FOTO EPA
AFP

Brussels: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersetuju memutuskan hubungan udara dengan Belarus ketika rejim pemimpin Alexander Lukashenko memaksa sebuah pesawat dalam penerbangan dari Greece ke Lithuania mendarat di Minsk, di Belarus, bagi menahan wartawan propembangkang.

Tindakan Lukashenko mencetuskan kemarahan antarabangsa dengan menghantar jet pejuang untuk memintas penerbangan Ryanair dari Athens ke Vilnius yang membawa wartawan dikehendaki, Roman Protasevich, 26, dan teman wanitanya Sofia Sapega.

Pertemuan pemimpin Eropah di Brussels juga bersetuju untuk melarang syarikat penerbangan Belarus dari ruang udara blok itu dan menggesa syarikat penerbangan yang berpangkalan di EU untuk tidak terbang di ruang udaranya.

Pemimpin EU bersetuju untuk melakukan sekatan ekonomi yang disasarkan terhadap pihak berkuasa Belarus dengan menambah dalam senarai 88 tokoh rejim dan tujuh syarikat yang sudah disenaraihitamkan atas tindakan keras terhadap pembangkang.

Langkah itu dilakukan ketika televisyen negara Belarus menyiarkan video Protasevich berdurasi 30 saat, yang tinggal di antara Lithuania dan Poland, mengesahkan dia berada di penjara di Minsk dan 'mengaku' atas tuduhan menganjurkan rusuhan besar-besaran.

Pemimpin EU menuntut 'pembebasan segera' Protasevich dan Sapega, kata kesimpulan sidang kemuncak itu.

Pemimpin Barat menuduh pihak berkuasa Belarus pada dasarnya merampas sebuah pesawat Eropah, sementara Minsk mendakwa pihaknya bertindak balas untuk menyelamatkan pesawat itu selepas menerima ancaman bom.

"Ini adalah tingkah laku keterlaluan dan Lukashenko dan rejimnya harus memahami ini akan membawa akibat yang teruk," kata ketua EU, Ursula von der Leyen.

London juga mengeluarkan arahan untuk pesawat Britain untuk mengelakkan ruang udara Belarus.

Ukraine mengatakan akan menghentikan penerbangan langsung antara kedua negara dan ke atas Belarus, sementara syarikat penerbangan rantau Skandinavia, SAS, Lufthansa (Jerman) dan syarikat penerbangan serantau yang berpangkalan di Latvia, Air Baltic mengatakan mereka akan menghindari ruang udara Belarus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 10:15 AM