PENDUDUK melintasi halangan di jalanan yang dibina petunjuk perasaan ketika demonstrasi di Yangon. FOTO AFP
PENDUDUK melintasi halangan di jalanan yang dibina petunjuk perasaan ketika demonstrasi di Yangon. FOTO AFP
AFP

Rome: Huru-hara politik di Myanmar mengakibatkan harga petrol dan makanan meningkat ketara, menyebabkan golongan rentan terus dihimpit kemiskinan.

Amaran berkenaan dikeluarkan Program Makanan Dunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Harga minyak sawit meningkat 20 peratus di kawasan bandar utama seperti Yangon berbanding ketika awal Februari lalu.

Harga beras di Yangon dan Mandalay turut meningkat sekitar empat peratus sejak minggu terakhir Februari lalu.

Di seluruh Myanmar, harga beras yang menjadi makanan ruji penduduk meningkat tiga peratus antara pertengahan Januari dan Februari, manakala di beberapa lokasi harganya meningkat antara 20 dan 35 peratus.

"Ini adalah petanda masalah terutamanya bagi golongan rentan yang sudah sedia berdepan kesusahan.

"Ditambah pula dengan pandemik Covid-19, jika peningkatan harga ini terus berlaku, ia akan memberi kesan kepada golongan miskin untuk menyediakan makanan buat keluarga mereka," kata Pengarah WFP Myanmar, Stephen Anderson.

Harga purata bagi minyak masak meningkat 27 peratus di Rakhine antara Januari dan Februari.

Manakala, harga petrol meningkat 15 peratus sejak 1 Februari lalu, dan peningkatan lebih tinggi disaksikan di Rakhine.

Katanya, WFP menyediakan bekalan makanan kecemasan sebagai sebahagian usaha untuk membantu lebih 360,000 penduduk Myanmar, khususnya yang tinggal di kem.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 7:11 PM