RAKAMAN gambar yang diambil di daerah Maungdaw, Rakhine di Myanmar pada 25 April 2018. FOTO AFP
RAKAMAN gambar yang diambil di daerah Maungdaw, Rakhine di Myanmar pada 25 April 2018. FOTO AFP
AFP

Yangon: Lebih 80 warga Rohingya yang ingin melakukan perjalanan ke Malaysia dengan menaiki bot ditahan di tenggara Myanmar selepas penyeludup meninggalkan mereka, menurut sumber pasukan keselamatan negara itu.

Kumpulan warga Rohingya itu, termasuk wanita dan kanak-kanak, ditahan pihak berkuasa berhampiran bandar Thanbyuzayat di Mon, pada Sabtu, kata sumber yang enggan namanya didedahkan kepada AFP.

"Mereka bersembunyi berhampiran ladang getah selepas bot yang membawa mereka dari Rakhine itu bertindak meninggalkan mereka" kata sumber itu dan memberitahu kumpulan warga Rohingya itu dijanjikan dibawa ke Malaysia.

Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam adalah destinasi utama bagi warga Rohingya yang melarikan diri daripada penganiayaan.

Siasatan sedang dijalankan dan setakat ini masih belum jelas sama ada kumpulan itu akan berdepan tuduhan jenayah kerana meninggalkan negeri Rakhine.

Penduduk Rohingya yang didapati bersalah melanggar undang-undang imigresen boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun di Myanmar.

Di Myanmar, penduduk Islam Rohingya di Rakhine dianggap sebagai pendatang tanpa izin (Pati), selain berdepan diskriminasi, dinafikan kewarganegaraan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Jabatan antipemerdagangan manusia di Yangon dan Naypyidaw enggan mengulas mengenai kes itu.

Ada juga laporan sebuah kapal tentera laut Myanmar menemukan 120 warga Rohingya di atas sebuah bot berhampiran perbandaran Mudon di Mon.

Tindakan keras tentera Myanmar pada 2017 memaksa kira-kira 750,000 Rohingya meninggalkan Rakhine ke Bangladesh berikutan laporan mengenai pembunuhan, pembakaran dan rogol.

Amnesty International menyamakan keadaan hidup mereka di Rakhine sebagai 'apartheid'.

Berikutan penghijrahan besar-besaran itu, Myanmar dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Myanmar berada dalam keadaan huru-hara sejak rampasan kuasa pada Februari tahun lalu dan lebih 2,400 orang awam terbunuh, menurut kumpulan pemerhati tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 2:44 PM