RUMAH agam dekat Laut Hitam yang mencetuskan kontroversi .
RUMAH agam dekat Laut Hitam yang mencetuskan kontroversi .
Agensi

Moscow: Tanda tanya pemilik rumah agam bernilai AS$1.4 bilion (kira-kira RM5.6 bilion) dekat Laut Hitam didakwa milik Presiden Rusia Vladimir Putin akhirnya terjawab apabila pasangan judo Putin ketika kecil mengakui rumah mewah itu miliknya.

Jutawan Rusia Arkady Rotenberg tampil menjelaskan rumah mewah itu miliknya bagi menjelaskan video dibuat Alexei Navalny yang kini sudah ditonton lebih 100 juta orang.

BBC melaporkan video berdurasi dua jam itu menunjukkan sebuah rumah besar, dua helipad, sebuah rumah tamu dan beberapa struktur lain berdekatan pesisir pantai.

Namun, Putin mendakwa istana mewah lengkap kasino, ski dan kebun anggur itu bukan miliknya.

Bagaimanapun, Rotenberg dikenali sebagai jutawan yang memiliki hubungan rapat dengan Putin.

Dia membuat pengakuan itu dalam wawancara dengan Mash-Telegram sebelum disahkan agensi berita, Interfax.

"Saya adalah pemilik rumah itu sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Rotenberg adalah tokoh penting di Rusia yang memiliki syarikat pembinaan besar yang membangunkan infrastruktur seperti jambatan dan jaringan paip gas.

Malah, dia adalah rakan permainan waktu kecil dan pasangan judo kepada Putin.

Video itu dimuat naik oleh Alexei Navalny, ahli politik Rusia dan pengkritik Putin yang hampir dibunuh menggunakan serangan agen saraf di Jerman tahun lalu.

Navalny yang kini ditahan di Penjara Moscow menuduh Putin secara diam-diam membina kediaman berhampiran Laut Hitam itu menggunakan dana haram dari rakan jutawannya.

"(Mereka) membina istana untuk bos mereka dengan wang ini," kata Navalny dalam video itu.

Istana berkeluasan kira-kira 68 hektar dan bernilai kira-kira AS$1.4 bilion, dakwa Navalny.

Dia juga menuduh sebidang tanah bersebelahan yang lebih besar milik Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia.

Rumah agam itu mempunyai 11 bilik tidur, dua helipad dan gelanggang hoki bawah tanah, teater peribadi, kasino ala Las Vegas, kolam renang, sauna dan gimnasium.

Kediaman itu terletak berhampiran bandar pesisir Gelendzhik dekat Laut Hitam di selatan Russia, di bawah zon larangan terbang, menurut video itu.

Video itu dihasilkan oleh sebuah organisasi milik Navalny iaitu Yayasan Pencegahan Rasuah (FBK).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 7:35 AM