INDIVIDU memegang plakad "Alexey Navalny is my hero" ketika memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin pembangkang itu yang meninggal dunia dalam tahanan pada Jumaat. FOTO Reuters.
INDIVIDU memegang plakad "Alexey Navalny is my hero" ketika memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin pembangkang itu yang meninggal dunia dalam tahanan pada Jumaat. FOTO Reuters.
Agensi

Moscow: Mayat Alexei Navalny, tokoh pembangkang Rusia yang meninggal dunia dalam tahanan harus diserahkan kepada keluarganya dengan segera, kata jurucakap Kira Yarmysh, semalam sambil mendakwa pegawai Rusia berbohong untuk menangguhkan proses itu.

Pengkritik pentadbiran Presiden Vladimir Putin berusia 47 tahun itu meninggal dunia pada Jumaat selepas dilapor tidak sihat dan pengsan ketika berjalan ke sel tahanannya, menurut jabatan penjara Rusia.

Bagaimanapun punca sebenar kematiannya masih tidak jelas.

Berita kematian Navalny mencetuskan kemarahan dengan beberapa pemimpin barat menyalahkan Putin.

Pasukan Navalny mengeluarkan pengesahan pertama kematian aktivis itu dan turut memaklumkan ibunya.

"Alexei Navalny telah dibunuh. Kematiannya berlaku pada 16 Februari, jam 2.17 petang waktu tempatan, berdasarkan mesej rasmi kepada ibu Alexei.

"Kami menuntut mayat Alexei Navalny segera diserahkan kepada keluarganya," tulis Yarmysh di media sosial.

Sementara itu, lokasi sebenar keberadaan mayat Navalny tidak diketahui, namun ibu dan peguam Navalny sudah ke jajahan yang menempatkan pusat tahanan, semalam untuk mendapatkan pengesahan kematian rasmi serta menuntut mayat.

"Mereka menunggu dua jam sebelum petugas datang memberitahu yang mayat Alexei Navalny berada di Salekhard (bandar terdekat), penyiasat daripada Jawatankuasa Penyiasatan Persekutuan Rusia mengambilnya dan mereka kini sedang menjalankan siasatan," kata Yarmysh.

Pasukan Navalny berkongsi di Telegram yang kawasan jajahan itu ditutup walaupun pihak penjara mengatakan ia akan dibuka dan mayat Navalny berada di sana.

Pasukan itu juga melaporkan yang mayat Navalny tidak ada ketika ibu dan peguamnya mengunjungi bilik mayat di bandar Salekhard.

Kata Yarmysh, Jawatankuasa Penyiasatan Rusia memberitahu seorang lagi peguam Navalny bahawa mayat itu tidak akan diserahkan kepada saudara sehingga siasatan selesai.

"Keputusan siasatan dijangka boleh didapati minggu depan. Jelas sekali mereka berbohong dan melakukan segala yang mereka mampu untuk mengelak daripada menyerahkan mayat," katanya.

Menambahkan lagi kekeliruan, seorang pekerja di satu-satunya bilik mayat di Salekhard memberitahu agensi berita Reuters bahawa mayat Navalny belum tiba.

Navalny menjadi satu daripada ancaman paling besar kepada pentadbiran Putin yang menjangkau lebih dua dekad.

Dia menganjurkan protes jalanan antikerajaan dan menggunakan blog serta media sosial untuk mendedahkan dakwaan rasuah di Kremlin dan dalam perniagaan Rusia.

Navalny dipenjarakan sebaik kembali ke Rusia pada 2021 dari Jerman, selepas menyelesaikan rawatan akibat diracun dengan Novichok, agen saraf era Soviet.

Penahanannya sejurus ketibaan selepas dituduh bermotifkan politik dan menjadi buangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 10:23 AM