SVETLANA Krivonogikh. FOTO Agensi
SVETLANA Krivonogikh. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Wanita yang digosipkan pernah menjalin hubungan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dilaporkan memiliki kekayaan luar biasa bernilai AS$100 juta (RM417 juta).

Daily Star melaporkan, dokumen Pandora Papers mendedahkan Svetlana Krivonogikh, 46, dilaporkan terbabit dalam hubungan cinta dengan pemimpin itu sejak Putin masih bergelar timbalan datuk bandar di kampung halamannya di St Petersburg.

Tetapi di sebalik latar belakangnya yang sederhana, wanita itu beralih daripada tinggal di sebuah pangsapuri biasa dan kini memiliki kondominium mewah serta kapal layar.

Krivonogikh mula 'mendaki tangga sosial' melalui pelaburan di shell company di Kepulauan Virgin Britain dan tempat lain, lapor New York Post.

Pada September 2003, sebuah syarikat luar pesisir dikenali Brockville Development Limited membelikannya sebuah kondominium empat tingkat serba mewah di Monte Carlo.

Dia juga memperoleh flat di St Petersburg dan aset berharga lain, menurut laporan itu.

Menurut Daily Star, Krivonogikh bukan satu-satunya yang mendapat kesenangan kerana mempunyai hubungan rapat dengan Putin.

Selama bertahun-tahun, kroni presiden Rusia itu memindahkan dana mereka ke tempat percukaian di Monaco, di mana dasarnya yang lemah menjadikan bandar tepi laut sebagai lokasi kegemaran golongan kaya.

Antara golongan terkaya Rusia-Monaco itu adalah Gennady Timchenko yang berkawan dengan Putin sejak 1990-an.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 7:01 AM