TANGKAP layar daripada video @D.weii_ di X, menunjukkan suasana kecoh susulan kejadian tembakan berkenaan. FOTO AFP
TANGKAP layar daripada video @D.weii_ di X, menunjukkan suasana kecoh susulan kejadian tembakan berkenaan. FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Ratusan pengunjung bersembunyi, manakala yang lain melarikan diri melalui beberapa pintu keluar ketika seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon di sini, semalam.

The Straits Times melaporkan, dalam insiden kira-kira 4 petang itu, suspek iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun membunuh dua individu yang masing-masing warga China dan Myanmar, dan mencederakan lima yang lain.

Menurut Santhosh, 20, seorang tukang masak di salah sebuah restoran di tingkat empat pusat beli-belah itu, dia dan rakannya mendengar bunyi kuat dan menyangka ada pergaduhan.

"Tetapi pengurus menjerit kepada kami untuk membongkok dan bersembunyi," katanya yang menyangka kira-kira 20 das tembakan dilepaskan.

Dia kemudian melalui tangga kecemasan dan melalui parkir sebelum keluar dari bangunan itu.

POLIS melakukan rondaan di dalam Siam Paragon, semalam, susulan insiden tembakan di pusat beli-belah itu, petang kelmarin. FOTO AFP
POLIS melakukan rondaan di dalam Siam Paragon, semalam, susulan insiden tembakan di pusat beli-belah itu, petang kelmarin. FOTO AFP

Seorang warga tempatan yang berada di dalam pusat beli-belah itu ketika kejadian, Tai Huang pula berkata, dia bersembunyi di perabot di sebuah kafe.

Ketika tembakan kedengaran, dia dan lebih 10 pengunjung lain bersembunyi dalam ketakutan serta tidak berani bergerak atau bersuara.

"Kami semua takut," katanya sambil berkata kakitangan kafe menutup pintu dan menutup lampu.

"Kami mesti bersembunyi selama sejam atau lebih..." katanya.

Walaupun mengetahui menerusi media sosial kira-kira 5 petang bahawa suspek ditangkap, Tai berkata, dia dan pengunjung lain menunggu kira-kira 20 minit sebelum meninggalkan pusat beli-belah itu.

"Kami tidak pasti sama ada ia selamat, tetapi akhirnya kami memutuskan untuk bergerak," katanya.

POLIS bergegas ke pusat beli-belah Siam Paragon sebaik menerima laporan berkenaan. FOTO AFP
POLIS bergegas ke pusat beli-belah Siam Paragon sebaik menerima laporan berkenaan. FOTO AFP

Berikutan kejadian itu, Stesen Skytrain BTS Siam ditutup, tetapi orang ramai masih boleh bergerak bebas di laluan pejalan kaki bertentangan dengan Siam Paragon.

Apabila The Straits Times tiba di tempat kejadian kira-kira 4.45 petang, ketika itu hujan lebat dan polis di luar pusat membeli-belah mengarahkan orang ramai, termasuk keluarga yang mempunyai anak, keluar dari pusat beli-belah itu.

Kira-kira 5.45 petang, mereka yang berlindung di dalam pusat beli-belah itu, termasuk kakitangan dan pelancong, akhirnya kelihatan meninggalkan bangunan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 12:23 PM