Kesan peluru dapat dilihat di pintu kaca di pusat beli belah, Siam Paragon. FOTO REUTERS
Kesan peluru dapat dilihat di pintu kaca di pusat beli belah, Siam Paragon. FOTO REUTERS
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 1,200 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan dan berada di Bangkok, Thailand tidak terbabit insiden tembakan rambang di pusat beli-belah, Siam Paragon, kelmarin.

Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata, ia berdasarkan pengesahan identiti kesemua mangsa insiden yang meragut dua nyawa dan tujuh cedera itu.

Menurutnya, mereka yang maut adalah masing-masing warga China dan Myanmar manakala lima yang cedera iaitu tiga warga tempatan, seorang warga China serta Laos.

"Pihak berkuasa Thailand kini sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden tembakan itu.

"Suspek juga akan dibawa ke mahkamah untuk proses perundangan dan pertuduhan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dalam kejadian jam 4.20 petang (waktu tempatan), polis menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang melepaskan tembakan.

Mengulas lanjut, Jojie berkata, Perdana Menteri Thailand sudah mengarahkan semua agensi dan pihak terbabit untuk memastikan keselamatan pengunjung termasuk pelancong asing yang mengunjungi pusat beli-belah serta lokasi tumpuan lain di Thailand.

Beliau menggesa rakyat Malaysia yang menetap atau bekerja di Thailand untuk mendaftar diri di Kedutaan Malaysia di Thailand menerusi e-mel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 2:14 PM