Gunung berapi Anak Krakatau meletus dua kali hari ini. FOTO The Jakarta Post/Twitter
Gunung berapi Anak Krakatau meletus dua kali hari ini. FOTO The Jakarta Post/Twitter
Reuters

Jakarta: Gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia meletus dua kali, memuntahkan awan abu gunung berapi setinggi 3,000 meter (9,843 kaki) ke udara, menurut agensi vulkanologi negara itu.

Gunung berapi itu meletus pada 7.46 pagi (0046 GMT) waktu tempatan pada Jumaat kemudian sekali lagi 62 minit kemudian.

Imej selang masa yang dikongsi oleh agensi itu menunjukkan pelebaran awan besar yang berkepul-kepul dari gunung berapi dan bergerak ke barat daya.

Anak Krakatau setinggi 157 meter (515.09 kaki), terletak di Selat Sunda Indonesia antara pulau Jawa dan Sumatera, meletus lebih 10 kali sejak Mac tahun ini.

Penempatan terdekat dengan gunung berapi adalah sejauh 16.5 km (10.25 batu).

Pihak berkuasa sudah mengeluarkan tahap amaran kedua tertinggi," kata Oktory Prambada, seorang pegawai di agensi gunung berapi dan geologi memberitahu Reuters, sambil menambah tiada arahan pemindahan tetapi pelancong dan penduduk dinasihatkan untuk tidak mendekati atau mendaki gunung berapi itu.

Indonesia terletak di "Ring of Fire" (Lingkaran Api) Pasifik dan mempunyai 127 gunung berapi aktif, menurut agensi volkanologi.

Letusan Anak Krakatau pada Disember 2018 mencetuskan tanah runtuh di bawah air yang mencetuskan tsunami di Banten, wilayah Jawa Barat dan wilayah Lampung yang mengorbankan sekurang-kurangnya 430 orang.

Setakat Jumaat, empat gunung berapi Indonesia berada pada tahap berjaga-jaga kedua tertinggi, termasuk Anak Krakatau, Merapi di Jawa Tengah, Semeru di Jawa Timur dan Karangetang di Sulawesi Utara.

Anak Krakatau muncul dari gunung berapi Krakatau, yang terkenal meletus pada tahun 1883 dan membunuh lebih daripada 36,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 5:32 PM