FOTO fail pada 2013 menunjukkan ibu muda mendodoikan anaknya di dalam buaian di Rajasthan, India. FOTO Reuters
FOTO fail pada 2013 menunjukkan ibu muda mendodoikan anaknya di dalam buaian di Rajasthan, India. FOTO Reuters
AFP

New Delhi: Lebih 2,000 individu di timur laut India, ditahan semalam kerana terbabit dalam aktiviti perkahwinan kanak-kanak secara haram.

Operasi polis selama dua minggu dilaksanakan di Assam, bermula semalam selepas Ketua Menteri, Himanta Biswa Sarma meminta bantuan orang ramai untuk menghapuskan amalan itu.

Ketua Pengarah Polis Assam, GP Singh berkata, 2,044 orang ditahan pada hari pertama operasi termasuk 52 sami dan pihak berkuasa undang-undang yang membenarkan perkahwinan itu.

Katanya, kanak-kanak seawal 12 tahun masih berkahwin dengan lelaki di negeri ini dan polis mengemukakan sejumlah 4,074 kes untuk disiasat.

Sebelum ini Sarma dilaporkan berkata, hampir satu daripada setiap lapan wanita di Assam terpaksa melahirkan anak sebelum mencapai usia 18 tahun, yang menyumbang kepada kadar kematian bayi dan ibu yang tinggi di negeri itu.

Usia perkahwinan yang sah di India ialah 18 tahun tetapi jutaan kanak-kanak dipaksa untuk berkahwin ketika mereka masih muda terutama di kawasan luar bandar.

Ramai ibu bapa mengahwinkan anak mereka dengan harapan dapat meringankan beban kewangan mereka.

Namun, kanak-kanak perempuan terpaksa berhenti sekolah untuk memasak dan membersihkan diri untuk suami mereka, dan mengalami masalah kesihatan kerana melahirkan anak pada usia muda.

Dalam penghakiman penting pada 2017, mahkamah tertinggi India memutuskan, hubungan seks dengan isteri bawah umur adalah rogol.

Keputusan itu turut disambut baik kumpulan aktivis.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merekodkan, India menyaksikan lebih 220 juta pengantin kanak-kanak, namun bilangan perkahwinan golongan itu menurun secara mendadak pada abad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 9:41 AM