MAJLIS pertunangan berkenaan tular di media sosial. FOTO detikJatim
MAJLIS pertunangan berkenaan tular di media sosial. FOTO detikJatim
Agensi

Jakarta: Video seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang bersalaman dengan tetamu yang datang ke rumahnya dengan ucapan tahniah atas pertunangan, tular di media sosial dan meraih perhatian netizen.

Memetik laporan Jakarta Globe, video membabitkan keluarga di Daerah Sampang, Jawa Timur itu turut mendapat perhatian Perwakilan Badan Kependudukan dan Keluarga Berencana (BKKBN) Provinsi Jawa Timur.

Ketua Perwakilan BKKBN Provinsi Jawa Timur, Maria Ernawati menjelaskan, pertunangan anak adalah amalan budaya tempatan di Madura, bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Pada 2023, terdapat satu lagi video tular yang menunjukkan dua kanak-kanak berusia 10 tahun, bertunang.

"Pertunangan berlaku ketika kanak-kanak masih kecil, tetapi majlis akad nikah diadakan selepas anak-anak tamat pengajian. Kami berharap kerajaan tempatan akan terus mendidik orang ramai mengenai bahaya perkahwinan awal atau kanak-kanak," katanya.

Ernawati menekankan bahawa perkahwinan kanak-kanak menimbulkan risiko kepada kesihatan dan ekonomi.

"Menjadi ibu pada usia muda, (ketika) masih belum matang, baik dari segi kesihatan reproduktif mahupun kesediaan mental. Bayangkan seorang anak terpaksa menjaga anak lain," katanya.

Ernawati berharap jumlah perkahwinan kanak-kanak di Jawa Timur akan terus berkurangan.

Kempen pendidikan besar-besaran mengenai kepentingan umur sah untuk berkahwin, dijalankan oleh semua pihak berkepentingan, termasuk media, boleh meningkatkan kesedaran mengenai bahaya perkahwinan kanak-kanak.

Zahri dan Zainab, ibu bapa kanak-kanak dalam video itu mengesahkan anak mereka memang sudah bertunang. Mereka sedia maklum peristiwa itu tular di media sosial.

Pasangan itu tidak menyangka majlis pertunangan anak perempuan mereka ketika masih di sekolah rendah akan menarik perhatian ramai.

Mereka menjelaskan bahawa acara itu adalah sebahagian daripada komitmen terhadap tradisi.

Di Indonesia, satu daripada sembilan wanita berkahwin pada usia mereka mencapai 18 tahun, dan kira-kira dua pertiga daripada kanak-kanak perempuan ini hamil anak pertama mereka pada usia yang sama, menurut data dari Badan Perangkaan Pusat (BPS).

Kerajaan Indonesia cuba menghalang perkahwinan kanak-kanak dengan memperkenalkan undang-undang yang menaikkan umur boleh berkahwin daripada 16 kepada 19 tahun, namun mahkamah agama masih boleh memberikan pengecualian berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 2:11 PM