Presiden Rodrigo Duterte menandatangani undang-undang baharu berkaitan perkahwinan kankak-kanak. - FOTO Reuters
Presiden Rodrigo Duterte menandatangani undang-undang baharu berkaitan perkahwinan kankak-kanak. - FOTO Reuters
AFP

Manila: Bermula hari ini, undang-undang berkaitan larangan perkahwinan kanak-kanak mula berkuat kuasa di Filipina.

Amalan perkahwinan kanak-kanak menyaksikan satu daripada enam gadis berkahwin sebelum umur 18 tahun.

Negara Asia Tenggara yang miskin itu mempunyai jumlah perkahwinan kanak-kanak ke-12 tertinggi di dunia, menurut kumpulan hak asasi Plan International yang berpangkalan di Britain, dengan amalan budaya yang dipegang sejak sekian lama dan ketidaksamaan jantina menghalang perubahan.

Namun, undang-undang baharu itu, ditandatangani oleh Presiden Rodrigo Duterte dan dikeluarkan kepada umum hari ini, menetapkan hukuman penjara sehingga 12 tahun kerana berkahwin atau bersekedudukan dengan sesiapa di bawah umur 18 tahun.

Orang yang mengatur atau meraikan kesatuan bawah umur juga menghadapi hukuman yang sama.

"Negara memandang perkahwinan kanak-kanak sebagai satu amalan yang membentuk penderaan kanak-kanak kerana ia merendahkan, menjatuhkan, dan menghina nilai intrinsik dan maruah kanak-kanak," kata undang-undang itu.

Kerajaan berkata, undang-undang itu selaras dengan konvensyen antarabangsa mengenai hak wanita dan kanak-kanak.

Bagaimanapun, beberapa bahagian undang-undang telah digantung selama setahun untuk membolehkan tempoh peralihan bagi orang Islam dan masyarakat orang asli di mana perkahwinan kanak-kanak adalah perkara biasa.

Laporan tahun lalu oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata lebih setengah bilion gadis dan wanita di seluruh dunia telah berkahwin pada zaman kanak-kanak, dengan kadar tertinggi ditemui di sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan.

Namun, data baru-baru ini menunjukkan amalan itu secara puratanya menurun di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 6:25 PM